am@hmetro.com.my
Lawas : Dua individu termasuk seorang wanita warga emas berusia 62 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan keldai akaun di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, Liong Tindan berkata, wanita berkenaan ditahan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tepi Jalan Banting, Lawas.
Menurutnya, seorang lagi individu turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan itu.
“Kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan keldai akaun dan kes kini masih dalam siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, wanita berkenaan disyaki terbabit dalam kes penipuan pelaburan tidak wujud yang dilaporkan di Bandar Baru Bangi, Selangor pada September 2024 lalu.
“Kes berkenaan membabitkan kerugian sebanyak RM14,700. Suspek mengakui tidak mengetahui akaunnya digunakan pihak lain untuk tujuan penipuan. Semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam perkembangan berasingan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sendiri di sebuah rumah di Jalan Trusan, di sini, Selasa lalu.
Lelaki itu disyaki terbabit dalam kes penipuan pelaburan tidak wujud yang dilaporkan di Nilai, Negeri Sembilan pada 8 Ogos 2025, membabitkan kerugian sebanyak RM2,000.
“Suspek juga mengakui tidak mengetahui akaunnya digunakan untuk tujuan penipuan dan semakan mendapati tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



