Warga emas bertarung nyawa selepas polis kenakan renjatan

Warga emas bertarung nyawa selepas polis kenakan renjatan

NEW SOUTH WALES – Seorang wanita warga emas yang nyanyuk sedang bertarung nyawa selepas dikenakan renjatan sebanyak dua kali oleh polis dalam kejadian awal pagi di sebuah rumah jagaan.

Polis dipanggil ke Yallambee Lodge di Cooma oleh kakitangan pusat itu apabila mangsa yang berusia 95 tahun itu memegang pisau.

Insiden itu telah mencetuskan bantahan ramai dengan peguam bela menyifatkan ia sebagai tindak balas yang tidak seimbang.

Ketua polis New South Wales (NSW) berkata, siasatan sedang dijalankan.

Wanita itu direnjat di dada dan belakang kira-kira jam 4 pagi, lapor media.

Mangsa mengalami kecederaan kepala yang mengancam nyawa, termasuk patah tengkorak dan pendarahan otak, selepas terjatuh semasa kejadian.

“Keluarga terkejut, masyarakat terkejut… Persoalannya ialah tahap kekerasan itu digunakan ke atas seorang wanita berusia 95 tahun?” kata rakan keluarganya, Andrew Thaler kepada Sydney Morning Herald.

Keluarganya berdukacita kerana tidak menjangkakan dia akan terselamat daripada kecederaannya, lapor Guardian Australia.

Kumpulan komuniti, termasuk NSW Council for Civil Liberties and People with Disability Australia (PwD), telah mengkritik tindak balas polis.

“Sama ada dia seorang wanita berusia 95 tahun yang tangkas, cergas, pantas dan menakutkan atau mungkin terdapat kelemahan dalam tindakan daripada anggota polis.

“Mangsa sebenarnya memerlukan seseorang untuk meredakan situasi dengannya dan bercakap dengannya, dan mengendalikannya dengan penuh belas kasihan dan bukan pengecut,” kata Presiden PwD Nicole Lee kepada Perbadanan Penyiaran Australia.

Rumah jagaan itu, yang dikendalikan oleh Majlis Wilayah Snowy Monaro, dibuka pada 1995 dan menjaga penduduk dengan “keperluan yang lebih tinggi”, menurut laman webnya. – Agensi