nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Wanita warga emas cedera selepas terseret 10 meter ketika bergelut dengan peragut sebelum rantai dan gelang tangan emas dilarikan dalam kejadian di halaman rumahnya di Kampung Paloh Rambai, Ketereh, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi tadi, mangsa berusia 72 tahun dikatakan sedang membakar sampah di halaman rumahnya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azmir Damiri berkata, suspek kemudian turun daripada motosikal dan meragut seutas rantai tangan dan leher yang dipakai mangsa.
“Ketika kejadian, mangsa sempat bergelut dengan suspek untuk mempertahankan diri sehingga terseret 10 meter.
“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dan mangsa mengalami kecederaan di badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek kini masih diteruskan dan pihak polis meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan keadaan sekeliling dan tidak mempamerkan barang berharga yang dipakai secara berlebihan supaya tidak menjadi sasaran penjenayah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




