Warga emas cekal jaga 4 cucu

Warga emas cekal jaga 4 cucu

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Biarpun dirinya uzur, namun demi kasih sayang, Halijah Mamat, 75, tetap cekal menjaga empat cucunya sejak lapan tahun lalu selepas anaknya tidak lagi dapat bekerja akibat masalah kesihatan.

Turut diuji dengan pergerakannya terbatas akibat penyakit saraf, kencing manis dan darah tinggi, namun dia bersyukur masih diberi kekuatan menjaga cucu berusia antara lima hingga 18 tahun.

Ia berikutan anaknya, Abdul Mukmin Hassan, 45, mengalami masalah tulang belakang selepas terjatuh dari pokok rambutan.

“Selagi hayat dikandung badan, saya akan pastikan nasib cucu terbela dan mendapat kasih sayang yang secukupnya.

“Bagi menampung perbelanjaan, saya bergantung kepada bantuan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM600 sebulan dan kadang kala wang itu turut diberikan kepada anak yang tidak mendapat sebarang bantuan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 11, Binjai, Ketereh.

Sementara itu, Abdul Mukmin berkata, selepas jatuh dari pokok lapan tahun lalu menyebabkan tulang selangka dan tulang belakangnya patah.

“Hidup juga berubah selepas berpisah dengan isteri empat tahun lalu dan kekuatan kini bergantung kepada ibu serta anak-anak.

“Sebelum ini saya melakukan pelbagai kerja kampung untuk menyara keluarga, namun selepas kemalangan itu, saya kini tidak lagi mampu melakukan kerja berat disebabkan cepat penat,” katanya.

Katanya, anak keduanya, Nor Amani Syamimi Abdul Mukmin, 13, bekerja sambilan sebagai pembantu kedai sejak empat tahun lalu selepas pulang dari sekolah dengan upah RM15 sehari untuk menampung perbelanjaan persekolahan dirinya dan adiknya, lapan tahun.

“Manakala anak sulung, Mohd Aiman Firdaus, 18, juga mengambil keputusan untuk menyambung pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini bekerja dengan bapa saudaranya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top