am@hmetro.com.my
Melaka: Lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Kesidang, minggu lalu.
Tertuduh berusia 62 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual di tempat pembuangan sampah pangsapuri berkenaan kira-kira jam 7 pagi pada 21 April lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan kerana tinggal di kawasan perumahan sama.
Peguam S Suresh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya sudah berusia dan mengalami masalah pendengaran telinga kanan serta menghidap penyakit kencing manis kronik.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Jun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd