farid_noh@bh.com.my
Johor Bahru: Seorang pesara kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda yang dikatakan tidak berpuasa‘, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 21.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot L1 14 dan 15, Tingkat 1, sebuah pusat beli belah, di Tampoi, di sini, kira-kira jam 6.15 petang, Ahad lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nur Fatihah Mohd Nizam manakala Abd Razak diwakili peguam, Mohd Salleh Togimin.
Nor Afiqah kemudian menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh sementara menunggu kes disebut semula.
Bagaimanapun peguam tertuduh ketika berhujah berkata, jaminan RM8,000 adalah terlalu tinggi buat Abdul Razak yang juga pesara kerajaan yang perlu menanggung tiga anak termasuk seorang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
“Dimohon tawaran jaminan rendah diberikan kerana tawaran jaminan RM8,000 itu seolah-olah hukuman awal terhadap OKS, walaupun dia belum disabitkan bersalah,” hujahnya.
Majistret kemudian memerintahkan OKS dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 April depan untuk serahan dokumen.
Pagi tadi, Mahkamah Majistret dilaporkan melepas tanpa membebaskan (DNAA) warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda yang dikatakan ‘tidak berpuasa’, Ahad lalu.
Majistret A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Terdahulu, Abdul Razak yang ditemani anaknya tiba semula di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas berkenaan kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd