Pelakon versatile, Azhan Rani berasa terkilan apabila melihat perkongsian video tular menunjukkan seorang warga emas yang dihalau keluar dari sebuah surau ketika sedang beriktikaf dan menunggu waktu dhuha.
Kata Azhan, melihat kepada perkongsian tersebut, dia teringat salah satu adegan yang terdapat dalam drama popular lakonannya, Nur.
Jelasnya, kebenaran itu sangat pahit sehinggakan orang mula melihat pada keburukan seseorang berbanding tujuan sebenarnya.
“Hari ni tertengok satu video seorang pakcik yang sedang beriktikaf dalam sebuah surau dihalau keluar sambil direkod dengan phone dan di upload kat sosial media. Alasannya kerana pembaziran tenaga letrik dan nak elakkan kecurian di surau tu kerana dah lepas waktu solat fardhu. Astaghfirullahalazim.
“Dalam drama Nur pun kalau siapa ingat ada satu watak Tok Siak akan halau watak Nur yang cuba datang ke masjid sampai baling selipar hanya kerana Nur perempuan lorong dan dirasakan tak layak berada di rumah Allah tu. Tapi tak apa, itu dalam cerita. Yang pasal pakcik ni pulak dalam realiti.
“Kebenaran tu pahit. Dalam drama orang boleh melenting dan marah kalau sisi kudis-kudis kehidupan ni diceritakan. Tapi mampu ke kita menolak realiti kehidupan ni tak lari kudis-kudis yang kita bencikan,” katanya.
Dalam pada itu, Azhan juga berharap insiden yang berlaku dapat dijadikan pengajaran buat kita semua.
“Semoga yang keruh dapat dijernihkan. Semoga ada pengajaran untuk kita semua.
“Insha-Allah doa yang baik-baik buat pakcik tu juga pada yang merekod pakcik tu. Andai hari ini tersasar moga esok akan ada jalan pulang untuk kita semua,” jelasnya.