am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Lelaki warga emas ditahan polis kerana disyaki melakukan khianat terhadap seekor anjing seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia berusia 82 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Puteri Jaya, dekat sini, jam 8 malam ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 merah, serangkai anak kunci, cukai jalan dan topi keledar untuk membantu siasatan.
“Barangan rampasan turut dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hanyan berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada seorang pengadu yang memaklumkan terlihat rakaman video yang dimuat naik melalui Facebook (FB) jam 5.30 petang semalam.
Beliau berkata, video itu memaparkan seorang lelaki warga emas mengikat seekor anjing pada motosikalnya dengan menggunakan tali.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, warga emas itu menghidap penyakit nyanyuk atau pelupa.
“Setakat ini dia mengaku menarik anjing terbabit yang juga haiwan peliharaannya sendiri tetapi tidak mengingati mengapa melakukan perkara itu.
“Warga emas itu hanya menyedari kejadian itu selepas ditahan oleh orang awam semasa kejadian,” katanya.
Hanyan berkata, orang awam kemudian menghantar anjing itu untuk rawatan di sebuah klinik haiwan dan sedang dapatkan rawatan.
Beliau berkata, anjing itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Veterinar selepas selesai dapatkan rawatan dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




