Warga emas ditahan, pandu MPV lawan arus

Warga emas ditahan, pandu MPV lawan arus

am@hmetro.com.my

Kluang: Polis menahan lelaki warga emas selepas didapati memandu secara berbahaya melawan arus di susur persimpangan masuk, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata tangkapan dibuat terhadap lelaki berusia 72 tahun susulan video terbabit tular di media sosial.

Menurut Bahrin, siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 6.20 petang Khamis lalu, di susur masuk persimpangan Taman Megah di sini.

“Pada 4 April lalu (semalam) polis mengesan satu rakaman video memaparkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza keluar dari taman terbabit dengan melawan arus dan berbahaya.

“Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menangkap lelaki terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Bahrin berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit negatif bahan terlarang.

Justeru, polis menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Sementara itu, tindakan lelaki terbabit mengundang kecaman warganet memandangkan kerap berlaku kemalangan di lokasi itu.

“Memang tak pernah serik padahal sudah berapa ramai meninggal di lokasi itu,” kata Amierul Ikil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top