hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menahan lelaki warga emas dipercayai terbabit dalam perbuatan khianat dengan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) beberapa bank di Jinjang, di sini, kelmarin.
Suspek warga tempatan berusia 67 tahun ditahan di bilik sewanya di Taman Mastiara, jam 3.21 petang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya juga berjaya merampas pakaian, sebuah motosikal, sebuah topi keledar dan seketul batu yang digunakan dalam jenayah berkenaan.
“Soal siasat awal mendapati, suspek melakukan perbuatan berkenaan kerana tidak berpuas hati gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM.
“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes khianat pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.
Terdahulu, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) beberapa mesin ATM milik sebuah bank di Jinjang dipecahkan seorang lelaki menyebabkan kerugian dianggarkan RM60,000.
Video tindakan lelaki berkenaan tular di media sosial sebelum polis memburu lelaki berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




