Nanjing: Seorang lelaki warga emas di China dikesan menunggang basikal elektrik yang diubah suai menggunakan tenaga anjing peliharaannya, sekali gus mencetuskan dakwaan penderaan haiwan.
Memetik laporan South China Morning Post, kejadian yang berlaku di wilayah Jiangsu di timur China itu tular di media sosial menerusi satu klip video yang memaparkan tindakan lelaki terbabit menunggang basikal di jalan raya pada 16 Mac lalu.
Rakaman berkenaan menunjukkan bateri asal basikal elektrik itu dikeluarkan dan digantikan dengan seekor anjing baka golden retriever yang ditempatkan di bawah tempat duduk.
Anjing yang dirantai itu dipaksa berlari untuk menggerakkan basikal manakala mulutnya dilihat diikat dengan alat penutup mulut (muzzle) secara ketat.
Lelaki terbabit turut dilihat memegang sebatang kayu di tangan kanan dan didakwa menggunakannya untuk memukul haiwan itu bagi memastikan ia terus bergerak.
Video itu dipercayai dirakam dan dimuat naik oleh seorang penunggang basikal lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian sebelum ia tular di platform dalam talian.
Susulan penularan itu, polis trafik tempatan dilaporkan berjaya mengesan lelaki terbabit namun hanya memberikan amaran dan nasihat memandangkan statusnya sebagai warga emas.
Tindakan diambil di bawah peraturan yang melarang penggunaan kenderaan yang diubah suai secara haram di jalan awam, namun butiran lanjut mengenai suspek tidak didedahkan.
Sehingga kini, keadaan sebenar anjing berkenaan tidak dapat dipastikan termasuk sama ada ia mengalami kecederaan fizikal akibat tindakan pemiliknya.
Isu berkenaan turut mencetuskan perdebatan mengenai ketiadaan undang-undang kebajikan haiwan yang khusus di China bagi melarang sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan peliharaan.
Netizen mengecam tindakan itu sebagai kejam, malah ada yang bimbang haiwan berkenaan mengalami kesukaran bernafas kerana mulutnya diikat terlalu ketat ketika berlari laju.
Selain isu penganiayaan, orang ramai turut mempersoalkan faktor keselamatan pengubahsuaian kenderaan itu yang dianggap berbahaya kepada penunggang serta pengguna jalan raya yang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




