am@hmetro.com.my
Seremban: Lelaki warga emas maut dipercayai akibat lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam parit di Ladang Linggi Sv Guthrie, Rantau, di sini, malam tadi.
Kejadian 9.50 malam itu disaksikan seorang anggota polis bantuan yang sedang bertugas sebelum memaklumkannya kepada pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, Mohd Syazwan Saidy berkata, pasukan menyelamat melakukan operasi sebelum mangsa ditemukan jam 12.05 tengah malam dan dia disahkan meninggal dunia.
“Pihak kami menerima panggilan 9.53 malam sebelum pasukan dari BBP Rantau dengan bantuan Pasukan Penyelamatan Di Air PPDA BBP Teluk Kemang ke lokasi.
“Lelaki itu dikatakan jatuh ke dalam parit dan tindakan kami melakukan kerja pencarian dan menyelamat di permukaan air serta menyusur di tebing parit dengan kedalaman tiga meter.
“Pada 12.05 tengah malam, mangsa dijumpai dan disahkan meninggal dunia oleh pihak medik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, menurut keterangan polis bantuan di ladang berkenaan, dia ternampak motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas jatuh ke dalam parit.
“Dimaklumkan secara tiba-tiba mangsa terus tenggelam dan polis bantuan itu segera menghubungi talian kecemasan MERS 999.
“Bagaimanapun, punca dan kejadian sebenar sedang disiasat pihak polis. Mayat mangsa juga diserahkan kepada pihak polis untuk bedah siasat,” katanya.
Tambahnya, mangsa dikenali sebagai R Nagarajan, 62, adalah seorang bekas pekerja estet dan beralamat di Ladang Marjorie, Rantau, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd