TAMPIN: Seorang warga emas ditemukan lemas di sungai di belakang rumahnya selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak petang tadi dalam kejadian di Kampung Tengah, Gemencheh dekat sini.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat pada pukul 8.30 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad berkata, pasukan bomba mendapat maklumat berkenaan daripada cucu mangsa yang bimbang datuknya, Ahmad Sudin, 87, tidak pulang sejak keluar dari rumah selepas waktu Asar.
“Mangsa dipercayai menjaring ikan di kawasan sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.33 malam dan dalam masa kurang dua minit, mangsa ditemukan tersangkut di dahan pokok tumbang tidak jauh dari lokasi mangsa memasang jaring,” katanya dalam kenyataan.
Norfaizal berkata, sebaik menemui mangsa, anggota bomba cuba memberikan bantuan pernafasan namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya dan dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.