Warga emas maut dilanggar kenderaan sendiri

Warga emas maut dilanggar kenderaan sendiri

am@hmetro.com.my

Seremban: Lelaki warga emas maut dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) sendiri yang meluncur ke hadapan sebaik dirempuh kereta lain.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi tadi di Jalan Persiaran Senawang 2 berdekatan sebuah pasar raya di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, ketika kejadian mangsa yang berusia 64 tahun dikatakan berada di hadapan MPV miliknya.

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Viva yang datang dari arah Taman Desa Dahlia menghala Taman Anggerik hilang kawalan, terbabas dan merempuh belakang MPV mangsa.

“Rempuhan menyebabkan MPV itu bergerak dan melanggar pemiliknya hingga cedera di bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MPV terbabit kemudiannya melanggar sebuah kereta lain yang diletakkan di lorong susur jalan ke pasar raya, namun tiada pemandu.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala pemandu Perodua Viva yang parah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar bagi rawatan,” katanya.

Azahar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 06-6032222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top