
Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk tempatan susulan dua serangan serupa yang berlaku sebelum ini. Gambar hiasan
BAHRAICH – Seorang wanita berusia 80 tahun maut dipijak seekor gajah jantan berhampiran Santuari Hidupan Liar Katarniaghat di Uttar Pradesh pada Ahad.
Ketika kejadian, mangsa yang juga penduduk Kampung Bhawanipur, Kuwariya Devi dikatakan sedang menggembala kambingnya berhampiran pinggir hutan Katarnia kira-kira jam 11 pagi.
Pegawai Hutan Bahagian Santuari Hidupan Liar Katarniaghat, Apoorva Dixit berkata, ketika kejadian, wanita itu pergi mencari seekor kambingnya yang tersesat masuk ke kawasan hutan.
“Dia diserang dan dipijak oleh gajah jantan tersebut menyebabkan kematiannya di tempat kejadian.
“Ini merupakan insiden kematian ketiga seumpamanya di kawasan itu sejak bulan lalu,” katanya.
Penduduk tempatan memberitahu, walaupun mangsa menjerit meminta bantuan dan petani berhampiran cuba menghalau haiwan itu, gajah berkenaan kekal berada di lokasi untuk beberapa ketika sebelum berundur semula ke dalam hutan.
Penduduk kampung turut memaklumkan bahawa gajah sama telah merosakkan tanaman di sebuah ladang berhampiran pada awal pagi hari kejadian.
Pasukan polis dan jabatan hutan telah tiba di lokasi dan menghantar mayat mangsa untuk bedah siasat.
Bantuan segera sebanyak Rs10,000 (RM420) telah diberikan kepada keluarga mangsa dan proses sedang dijalankan untuk menyalurkan pampasan ex-gratia sebanyak Rs5 lakh (RM21,030) mengikut prosedur kerajaan.
Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk tempatan susulan dua serangan serupa yang berlaku sebelum ini.
Pada 14 Februari lalu, seorang wanita berusia 45 tahun dari Lakhimpur maut di Jalan Mihinpurwa-Lakhimpur dan pada 15 Februari, seorang lelaki warga emas yang merupakan seorang pertapa maut di Kampung Karikot.
Ringkasan AI
- Wanita berusia 80 tahun maut dipijak gajah jantan
- Kejadian berlaku berhampiran Santuari Hidupan Liar Katarniaghat, Uttar Pradesh
- Mangsa diserang ketika mencari kambingnya yang tersesat di pinggir hutan
- Maut di tempat kejadian akibat dipijak haiwan berkenaan
- Insiden kematian ketiga akibat serangan gajah dalam tempoh sebulan
- Penduduk panik susulan kejadian berulang di kawasan sama
- Gajah sama dipercayai turut merosakkan tanaman penduduk
- Keluarga mangsa menerima bantuan awal, pampasan sedang diproses



