
Seorang warga emas di Makassar, Indonesia menangis di balai polis selepas mendakwa diugut dengan parang oleh anak teman wanitanya kerana tidak merestui hubungan mereka.
JAKARTA – Seorang warga emas di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia menjadi perhatian ramai apabila menangis di balai polis selepas mendakwa diancam dengan parang oleh anak teman wanitanya.
Mangsa, Dg Ngawing, 61, dikatakan tidak mendapat restu daripada anak wanita berkenaan berhubung hubungan cinta mereka sehingga berlaku insiden ugutan tersebut.
“Mungkin dia rasa terancam selepas diugut, lalu datang membuat laporan di balai polis,” kata Ketua Balai Polis Makassar, Kompol Muhammad Tamrin.
Menurut Tamrin, mangsa tetap hadir ke balai polis walaupun dihalang oleh teman wanitanya yang bimbang laporan itu akan melibatkan anaknya.
“Teman wanita warga emas itu cuba menghalang kerana jika laporan dibuat, anaknya akan terlibat dalam kes ugutan ini,” jelasnya.
Kejadian dilaporkan berlaku di rumah wanita berkenaan di Jalan Kerung-Kerung, Kelurahan Bara-Baraya Utara, Makassar.
Sebelum kejadian, Dg Ngawing dikatakan meminum minuman keras jenis ballo di rumah teman wanitanya.
Kes berkenaan kini dalam siasatan polis.