Warga emas meninggal dalam surau – Utusan Digital

REMBAU: Warga emas ditemukan meninggal dunia dalam Surau Mampong Hilir, Kampung Mampong Hilir, dekat sini, petang semalam.

Rosli Kemat, 56, dipercayai mengalami serangan jantung dan terjatuh sebelum ditemui orang awam di dalam surau berkenaan.

Menurut Mohd. Arif Kemat, 53, Allahyarham abangnya itu sering berkunjung ke surau berkenaan sejak lima tahun lalu untuk membantu membersihkan surau berkenaan.

“Tidak ada sebarang upah dan tiada sesiapa yang menyuruhnya untuk membersihkan surau tapi abang memang seperti itu, rajin serta mudah mesra dengan sesiapa sahaja di kampung.

“Sejak lebih 20 tahun lalu, abang sering keluar kawasan mengikuti jemaah tabligh bagi menyebarkan dakwah Islam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Rembau, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, menurut Mohd. Arif, kediaman keluarganya sejak malam semalam dikunjungi ramai individu tidak dikenalinya bagi mengucapkan takziah buat keluarganya.

“Ada yang sanggup meminta kebenaran merentas negeri dari Kuala Lumpur dan sama-sama membantu di tanah perkuburan seawal pukul 9 pagi. 

“Kami sekeluarga tak mengenali mereka, namun, kesudian mereka hadir menunjukkan arwah abang saya sangat disenangi oleh kenalannya yang berkemungkinan merupakan jemaah tabligh daripada merata tempat,” katanya. -UTUSAN ONLINE