suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kajang: Lelaki warga emas meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari cerun berketinggian kira-kira lapan meter di hutan Jalan Bukit Enggang, Bandar Sungai Long, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pada 2.43 petang memaklumkan lelaki warga tempatan berusia 65 tahun ditemui tidak sedarkan diri.
Katanya, siasatan mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah di kawasan berhampiran kira-kira 7 pagi, sebelum ditemui orang awam.
“Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan, namun disahkan meninggal dunia pada 3.15 petang ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mekar Zharif Shah Ab Rasid di talian 012 592 5390 bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




