MERSING: Seorang warga emas dari Kampung Air Merah di sini yang terpilih menerima vaksin dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mengamalkan bacaan ayat al-Quran pada malam sebelum disuntik.
Hasnah Roslan, 84, berkata, syukur kerana akhirnya dia dan suami, Ahmad Syukor, 94, telah divaksin untuk dos pertama di Dewan Jubli Intan di sini.
Ibu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad itu berharap, masyarakat terutamanya golongan warga emas yang sebaya dengannya tidak takut untuk mengambil vaksin.
“Alhamdulillah, tak ada benda (tak sakit). Hari itu saya jatuh di rumah kemudian tanya pihak hospital (sama ada boleh ambil vaksin) orang hospital cakap nenek tak ada benda (boleh ambil) sebab nenek darah O.
“Rasa lega bila sudah divaksin. Sebelum tidur (malam tadi) saya baca macam-macam surah al-Quran yang mana hafal. Alhamdulillah tak ada benda (semua okay),” katanya selepas mengambil dos pertama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Jubli Intan Mersing.
Hasnah dan suami merupakan antara 180 orang warga emas dan pesakit kronik yang terpilih mendapat suntikan dos pertama fasa kedua bagi PICK peringkat daerah Mersing.
Terdahulu, mereka berdua ditemani Abdul Latif pergi ke PPV tersebut dengan Hasnah terpaksa menaiki kerusi roda sementara Ahmad masih kuat berjalan meskipun telah berusia 94 tahun.