KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas rumah yang didiaminya seorang diri terbakar di Lorong Padang Bola, Kampung Gong Lingai, di sini, petang ini.
Sulong Mohd., 60, yang masih bujang ditemukan pasukan bomba kira-kira pukul 5.40 petang selepas operasi pemadaman api dijalankan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Izwan Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.56 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, pasukan mendapati sebuah rumah terbakar dengan hampir 70 peratus musnah.
“Operasi pemadaman dimulakan pada pukul 5.12 petang sebelum mangsa ditemukan di dalam rumah pada jam 5.40 petang,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, operasi pemadaman api menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu penyambung aliran air bercabang serta dua pancutan air dari jentera.
Katanya, operasi dapat dikawal pada pukul 5.26 petang.
“Maklumat yang diperoleh mendapati mangsa tinggal seorang diri dan mengalami strok ringan namun masih boleh berjalan,” katanya.
Operasi turut melibatkan kerja-kerja mencari dan mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN
