am@hmetro.com.my
Kuantan: Lelaki berusia 62 tahun kerugian RM1.22 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang sebelum ini berniaga perabot kayu membuat laporan polis semalam, mendakwa ditipu selepas berkenalan dengan broker rumah dari Singapura, Januari lalu.
Katanya, suspek memaklumkan menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan platform berasal dari England dan menawarkan pekerjaan kepada mangsa bersama tawaran komisen antara 13 peratus hingga 18 peratus.
“Pada 20 Februari lalu, mangsa menerima satu mesej WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Lee Mei Lee’, yang mengajar cara menggunakan platform itu.
“Mangsa diminta mengaktifkan akaun terlebih dahulu dengan memberikan maklumat peribadi dan sepanjang tempoh berkenaan dia pernah memperoleh sekali komisen berjumlah RM800.
“Selain itu dia juga diminta untuk membuat lain-lain bayaran termasuk selepas akaunnya dalam platform itu disekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, mangsa membuat 61 transaksi kepada 14 akaun berbeza tetapi selepas pindahan itu, pelbagai alasan diberikan suspek apabila mangsa menuntut pengeluaran, bahkan dia terus diminta memasukkan wang.
Katanya, mangsa mengesyaki ditipu dan mengalami kerugian RM1.22 juta iaitu wang simpanan dan pinjaman
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya meminta orang ramai lebih berhati-hati dan sentiasa membuat semakan dengan portal rasmi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




