Warga emas tersilap tekan pedal minyak, langgar tiga individu

am@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Seorang warga emas berusia 89 tahun dipercayai tersilap menekan pedal minyak ketika hendak memarkir kenderaan dipandunya sehingga melanggar seorang penunggang motosikal, penjual bunga dan pejalan kaki di Jalan 4/8 Pandan Perdana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 pagi ketika lelaki berkenaan berada di kawasan parkir.

“Akibatnya, penunggang motosikal, penjual bunga serta pejalan kaki terjatuh di tepi jalan dan mengalami kecederaan,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Khairul Anuar berkata, ketiga-tiga mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Beliau berkata, kesemua yang terbabit dalam kemalangan itu kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian.

“Hasil siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu terbabit.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59, sabit kesalahan boleh dikompaun tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000,” katanya.

Terdahulu, video kejadian kemalangan berdurasi 43 saat itu tular di aplikasi X.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top