Warga emas tipu wang RM2,700 kena denda

Warga emas tipu wang RM2,700 kena denda

surayaroslan@mediaprima.com.my

Ampang: Bekas juruteknik syarikat penerbangan berusia 82 tahun didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana menipu lelaki supaya membayar sejumlah wang untuk melepaskan bagasi yang didakwa ditahan di lapangan terbang.

Majistret Amalina Basirah Md Top mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Raja Shahyan Raja Abdullah mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa menipu Abdul Khadar Ahmad Ali, 59, bahawa bagasinya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM2,700, yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdaya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Ampang, Selangor antara 1.40 petang, 19 Julai 2023 dan 3.39 petang 24 Julai 2023, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail.

Terdahulu, Izleen merayu denda minimum buat anak guamnya mengambil kira tertuduh sudah berusia dan menghidap penyakit prostat serta batu karang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top