yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan akan membuat semakan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil 4/2015) demi memelihara kesucian agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ini mengambil kira kegelisahan masyarakat terhadap tayangan drama yang menyajikan babak sensual dan unsur manipulasi atas alasan seni mahupun kesedaran sosial.
“Walaupun niat menyampaikan realiti difahami, kaedah penyampaian yang mengghairahkan serta dijadikan modal pemasaran, berisiko menenggelamkan mesej pengajaran sebenar.
“Seni hebat ialah seni menyentuh jiwa tanpa melangkaui garis panduan syarak, memandangkan setiap karya yang ditonton jutaan manusia pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan penyanyi dan pelakon, Farahdhiya melalui aplikasi Threads mempersoalkan adegan tidak bersesuaian dalam ‘Madu atau Racun’ mendapat kelulusan pihak tertentu untuk ditayangkan kepada umum.
Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin, 41, menegaskan beliau tidak pernah menonton drama terbabit dan hanya mengetahui mengenainya menerusi media sosial selepas menjadi tular.
Drama itu menerima kecaman hebat susulan terdapat babak didakwa memaparkan hubungan songsang lakonan Elisya Sandha dan Uqasha Senrose.
Isu terbabit mencetuskan perdebatan sehingga orang ramai menolak tayangan drama bersiri 12 episod itu yang disiarkan melalui platform penstriman iQIYI.
Bagaimanapun, iQIYI bersetuju untuk membuat suntingan sebelum naskhah itu dinilai panel untuk tayangan semula atas arahan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dalam mesyuarat, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zulkifli menggesa warga industri kreatif supaya membuat penilaian semula secara menyeluruh berhubung penghasilan karya mengandungi babak sensual dan unsur manipulasi, selain mengambil tindakan jika terbukti melanggar garis panduan.
Beliau turut meminta warga industri seni kreatif kembali menghayati acuan adab, etika dan maqasid syariah dalam proses pembikinan sesuatu karya.
Katanya, ini kerana mendidik masyarakat mengenai kerosakan tidak seharusnya dilakukan dengan merosakkan pandangan penonton.
“Penyebaran klip babak terlampau dalam media sosial dikhuatiri membiasakan norma buruk dalam masyarakat dan memberi dampak negatif kepada perkembangan emosi serta sahsiah remaja.
“Penggiat seni dan platform media diingatkan supaya tidak meletakkan angka tontonan serta keuntungan perniagaan, mengatasi keberkatan dan syarat kelestarian iman dalam berkarya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
