Srinagar: Penduduk Kashmir yang ditadbir India melancarkan kempen derma besar-besaran bagi membantu menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik di Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Orang ramai menyumbang wang tunai, emas, peralatan tembaga serta tabung simpanan kanak-kanak dalam beberapa inisiatif komuniti yang diselaraskan di seluruh Kashmir, menurut seorang penganjur pada Rabu.
Kedutaan Iran di New Delhi mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kashmir melalui hantaran di platform media sosial X serta menyediakan kod respons pantas (QR) untuk sumbangan terus ke akaun banknya.
“Dengan penuh rasa syukur, kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kashmir yang berdiri bersama rakyat Iran melalui sokongan kemanusiaan dan solidariti yang tulus, kebaikan ini tidak akan dilupakan. Terima kasih, India.”
Wilayah Kashmir yang ditadbir India mempunyai hubungan sejarah, budaya dan agama dengan Iran.
Pembunuhan pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam pengeboman oleh Israel dan Amerika Syarikat awal bulan ini mencetuskan beberapa hari protes di wilayah itu.
Di seluruh bandar dan kampung, seruan untuk menderma mendapat sambutan menggalakkan, dengan ramai yang turut menyumbang walaupun berdepan kekangan kewangan.
Sukarelawan bergerak dari rumah ke rumah, menggerakkan sokongan melalui pengumuman di masjid, media sosial dan rangkaian tempatan.
Laporan media dan video di media sosial menunjukkan sumbangan mengalir masuk melalui kutipan dari rumah ke rumah, termasuk wang tunai, barang kemas emas, peralatan tradisional tembaga dan perak, motosikal, ternakan malah simpanan kanak-kanak.
Antara kisah yang paling mendapat perhatian ialah seorang balu yang menyumbangkan barang kemas emas yang disimpannya selama 28 tahun sebagai kenangan Allahyarham suaminya.
Seorang wanita yang hadir dengan kerusi roda turut menyumbangkan anting-anting emas bersama wang tunai.
Kedutaan Iran turut berkongsi video seorang kanak-kanak perempuan kecil dari Kashmir yang menyerahkan tabung simpanannya, sambil menyatakan: “Rakyat Iran tidak akan melupakan tindakan murni itu. Terima kasih kerana mengingatkan dunia yang tangan kecil juga mampu melakukan perkara besar.”
Kebanyakan kempen derma ini dianjurkan oleh jawatankuasa kejiranan melalui imambara, iaitu dewan perhimpunan komuniti Muslim.
Beberapa ahli legislatif di wilayah itu turut menyumbangkan gaji sebulan untuk dana bantuan.
Sumbangan akan disalurkan melalui organisasi bantuan rasmi dan Kedutaan Iran bagi memastikan ia sampai kepada mereka yang memerlukan, kata Mohsin Ali, penganjur kempen kutipan di Daerah Budgam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




