am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Lebih 2,000 jemaah termasuk pelajar dari beberapa sekolah di sini, yang diasaskan bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir ke majlis Tahlil Perdana di Masjid Abdullah Fahim di sini, malam tadi.
Mereka berhimpun mendirikan solat Maghrib sebelum memulakan majlis tahlil dan bacaan Yasin bagi memperingati jasa serta pengorbanan Allahyarham Tun Abdullah terhadap warga Kepala Batas sehingga banyak kemajuan dapat dilihat ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau tidak menyangka kehadiran begitu ramai jemaah termasuk pelajar menghadiri program anjuran pusat khidmatnya itu.
“Alhamdulillah tanpa disangka kehadiran 2,000 jemaah termasuk pelajar dari beberapa sekolah yang Tun Abdullah diasaskan secara sukarela datang ke majlis ini.
“Doa anak-anak ini (dikatakan) doa yang mustajab dan apa yang dilakukan ini adalah khidmat terakhir yang dapat kami lakukan kepada ayahanda kami (Tun Abdullah),” katanya.
Terdahulu, Reezal Merican yang menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama 10 tahun selepas Tun Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan kerana mahu berundur dari karier politik meminta warga tempatan terus menjaga peninggalan Allahyarham sebaiknya.
“Bagi kita, Tun Abdullah bukan setakat Perdana Menteri Kelima tetapi adalah orang yang membawa perubahan dan menjadikan apa yang kita rasa ini (kemajuan) suatu kebahagiaan kerana perbuatannya serta rancangannya (terhadap Kepala Batas) begitu membahagiakan.
“Masjid yang kita duduk ini dulu bukan masjid dan semua ini adalah estet yang orang panggil (Kepala Batas) pekan koboi kini apa sahaja yang tidak ada di Kepala Batas, yang jika kita kalih (pandang) kiri, kanan dan belakang ia adalah hasil sumbangan oleh insan bernama Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Kehilangannya mewajarkan kita mendapat keinsafan untuk menjadi seperti beliau yang mana beliau mendapat kemuliaan di hujung (akhir hidupnnya), sebelum masuk ke dalam liang lahad yang kita sendiri tidak tahu (pengakhiran hidup kita),” katanya.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Menyingkap perjalanannya membangunkan Kepala Batas bermula apabila beliau menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal berturut-turut sejak 1978 hingga 2013.
Sepanjang khidmatnya itu, beliau dikatakan sudah mengubah wajah Kepala Batas dari ‘pekan koboi’ kini menjadi bandar baharu pesat membangun, selain masih mengekalkan kampung tradisional.
© New Straits Times Press (M) Bhd