razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun Ramadan masih belum bermula, namun warga kota sudah mula membuat tempahan tiket untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini.
Tinjauan mendapati permintaan awal mula meningkat terutama bagi laluan popular seperti Kuala Lumpur ke Kelantan, Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak apabila pengguna sudah mula mendapatkan tiket bagi mengelakkan kesukaran mendapatkan tiket pada saat akhir.
Sebahagian pengguna turut mengambil peluang kempen promosi awal yang ditawarkan syarikat selain merancang perjalanan lebih awal bagi mengurus kos perbelanjaan pulang beraya bersama keluarga dengan lebih teratur.
Antara yang mendapat sambutan adalah tiket penerbangan yang disediakan syarikat penerbangan, Batik Air.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, syarikat itu mencatatkan permintaan awal yang menggalakkan bagi tempoh perjalanan Aidilfitri, dengan faktor muatan sudah melebihi 30 peratus dengan pembelian sudah dibuat pada awal bulan lalu terutamanya bagi tarikh perjalanan puncak pada minggu sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri.
Katanya, ini mencerminkan keyakinan penumpang yang berterusan serta kepentingan hubungan penerbangan sempena musim perayaan, khususnya bagi keluarga yang membuat perancangan perjalanan lebih awal
“Seperti dijangka, laluan yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak kekal sebagai yang paling popular sepanjang tempoh Aidilfitri.
“Destinasi seperti Kuching dan Tawau mencatatkan permintaan yang ketara, didorong perjalanan pulang ke kampung sempena perayaan serta aliran penumpang yang konsisten sepanjang tahun. Laluan ini secara tradisinya menerima permintaan tinggi ketika musim perayaan utama dan trend tempahan semasa adalah selari dengan corak itu,” katanya.
Beliau berkata, sebagai maklum balas kepada jangkaan peningkatan permintaan, syarikat berkenaan menambah kapasiti pada laluan yang mempunyai permintaan tinggi melalui penambahan kekerapan penerbangan.
“Ini termasuk destinasi utama seperti Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang bagi memberikan lebih banyak pilihan dan ketersediaan tempat duduk kepada penumpang sepanjang tempoh puncak perayaan.
“Kami mengamalkan pendekatan seimbang dengan menawarkan ‘Fixed Fares Sales’ ke Sabah dan Sarawak, di samping penambahan penerbangan pada laluan terpilih,” katanya.
Dalam pada itu, kami turut menyemarakkan musim perayaan dengan pelancaran Jualan Global Tahun Baharu Cina (CNY) yang menawarkan penjimatan menarik sehingga 35 peratus bagi tambang penerbangan ke pelbagai destinasi dalam rangkaian domestik dan antarabangsa yang luas.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Konsortimum E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, susulan permintaan tinggi dari pelanggan bas ekspres syarikat itu terutama ke Pantai Timur, pihaknya sudah mula membuka jualan tiket sejak minggu lalu sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Katanya, sehingga kini sambutan yang diberikan sangat menggalakkan walaupun masih belum masuk Ramadan.
“Kebiasaannya, jualan tiket kita buka pada awal Ramadan, namun kali ini kita buka lebih awal susulan permintaan tinggi daripada pelanggan.
“Setakat ini, jualan tiket amat menggalakkan dan kami bersedia menyediakan bas tambahan sekiranya tiket sedia ada habis terjual,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sejumlah 44 peratus daripada tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk Aidilfitri sudah terjual dan dijangka habis menjelang Februari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata susulan itu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah perkhidmatan ETS dengan menawarkan lapan perkhidmatan tambahan sepanjang 13 hingga 29 Mac, membabitkan purata dua perjalanan sehari bagi setiap laluan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



