nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan seorang lelaki warga Mesir yang dikesan menggunakan pasport palsu, semalam.
Suspek berusia 28 tahun ditahan ketika berurusan di kaunter visa dan permit Kompleks Imigresen Negeri.
Pengarah Imigresen Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata lelaki terbabit hadir ke kaunter untuk memohon lanjutan pas lawatan jangka panjang.
“Bagaimanapun semakan mendapati suspek sudah tinggal lebih masa selama dua tahun.
“Lelaki itu juga mengemukakan satu pasport yang baharu, namun nombor pasport yang lama dan baharu adalah sama. Tangkapan dibuat terhadap lelaki itu kerana disyaki mengemukakan pasport Mesir yang palsu.
“Lelaki berkenaan ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (1) (a) Akta Pasport 1966,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, JIM Kelantan menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd