Warganegara sekalipun tetap perlu guna laluan masuk sah

Warganegara sekalipun tetap perlu guna laluan masuk sah

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelajar yang merentas Sungai Golok untuk bersekolah di Kelantan disaran menggunakan laluan masuk yang sah bagi mengelak berdepan tindakan undang-undang.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, tindakan merentas sempadan melalui pangkalan haram atau laluan tidak diwartakan menjadi satu kesalahan walaupun membabitkan warga tempatan.

Menurutnya, bagi mengelak masalah timbul, pelajar terbabit disaran mencari sekolah berasrama bagi mengurangkan keperluan untuk merentas sempadan pada setiap hari persekolahan.

“Jika ibu bapa pelajar terbabit adalah warganegara Malaysia, jadi pelajar berkenaan adalah warganegara Malaysia dan secara prinsip mereka berhak berada di negara ini.

“Namun, penggunaan laluan haram walaupun oleh seorang warganegara adalah dianggap melanggar peraturan dan undang-undang imigresen dan boleh dikenakan tindakan.

“Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan semua individu, termasuk warganegara perlu melalui atau melapor melalui pintu masuk yang sah/diwartakan,” katanya kepada Harian Metro.

Nik Akhtarulhaq berkata, selain melanggar undang-undang, penggunaan laluan haram berkenaan dikhuatiri mendedahkan pelajar terbabit kepada pelbagai risiko.

Katanya, mereka boleh terdedah kepada risiko jenayah antaranya penyeludupan dan pemerdagangan manusia, selain didakwa kerana menggunakan laluan haram.

“Pelajar dan ibu bapa dinasihatkan menggunakan laluan sah atau warta seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, ICQS Pengkalan Kubor dan ICQS Bukit Bunga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top