Warholm bagi amaran awal menjelang Kejohanan Dunia

Warholm bagi amaran awal menjelang Kejohanan Dunia

Chorzow: Jaguh lari berpagar Norway, Karsten Warholm memberi amaran awal menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo hujung bulan ini apabila mempamerkan larian luar biasa 46.28 saat (s) dalam acara 400 meter berpagar di Chorzow, Poland hujung minggu lalu.

Catatan itu ketiga terpantas dalam sejarah, hanya di belakang rekod dunianya sendiri 45.94s serta milik pelari Amerika Syarikat, Rai Benjamin (46.19s).

Warholm, 28, yang pernah meraih emas ikonik di Olimpik Tokyo 2021, menganggap prestasi di Poland adalah petanda jelas dirinya berada di landasan tepat menjelang kejohanan dunia.

“Saya berlari dengan rentak dan kelajuan yang sempurna. Catatan 46.28s ini lebih baik daripada jangkaan. Saya tahu saya mampu lakukannya, dan ia membuktikan kami kini berada di tahap terbaik,” kata Warholm.

Dia sebelum ini menyertai dua siri Liga Berlian di China sebelum mencatat rekod dunia 300m berpagar di Oslo, satu strategi yang disifatkan sebahagian daripada pelan persediaan bersama jurulatihnya.

“Kami sentiasa menyusun strategi. Latihan kali ini banyak memberi fokus kepada 100m terakhir. Saya rasa kami berjaya membentuk versi terbaik diri saya,” jelasnya.

Selepas aksi final Liga Berlian di Zurich, Warholm akan berlepas ke Jepun bagi menjalani kem latihan terakhir sebagai persiapan menuju Tokyo.

“Saya yakin persiapan kami tepat. Ini permulaan yang baik untuk separuh kedua musim saya dan sangat menjanjikan menjelang Kejohanan Dunia,” katanya yang kini memiliki sembilan daripada 23 catatan terpantas dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top