Kuala Lumpur: Warisan tidak seharusnya dilihat sebagai beban masa lepas, sebaliknya sebagai aset strategik yang mampu menjana pelancongan, menggerakkan industri kreatif, membuka peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bangunan warisan yang dihidupkan semula menjadi antara strategi penting untuk memacu kedatangan pelancong dari luar negara dan domestik.
Memberikan contoh Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) di Jalan Raja di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata pemuliharaannya bukan usaha untuk mengulang nostalgia, tetapi ikhtiar untuk memastikan sejarah terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Usaha ini ialah teras kepada inisiatif WARISAN KL, iaitu pendekatan strategik kerajaan untuk menghidupkan semula tapak warisan utama Kuala Lumpur sebagai pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya,” katanya ketika berucap pada majlis penyempurnaan pemuliharaan BSAS oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




