hafizithnin@mediaprima.com.my
MENDEKORASI kediaman sebenarnya sesuatu perkara yang menarik untuk dilakukan.
Perkara ini kerana ia mampu memberi satu tenaga baharu kepada mereka yang mendiaminya apabila berada di dalam kediaman berkenaan.
Ketika ini terdapat banyak jenis konsep yang ditonjolkan di media sosial dan menjadi ikutan pemilik untuk mendekorasi kediaman mereka mengikut cita rasa masing-masing.
Jika melihat kepada dekorasi kediaman yang ditonjolkan pasti akan kelihatan nilai mewah dan selesa. Sebenarnya tidak sukar untuk mendapatkan kesan itu jika anda bijak untuk mengambil beberapa elemen penting dan diterapkan di dalam kediaman peribadi.
Pereka hiasan dalaman dari Eladeko, Nurlailah Khadijah Awaluddin berkata, pemilik sebenarnya boleh memilih beberapa elemen untuk diterapkan di dalam kediaman bagi mendapatkan kesan mewah dan selesa tanpa perlu berbelanja besar.
Jelasnya, setiap konsep atau tema hiasan dalaman sememangnya mempunyai elemen yang mampu menonjolkan keselesaan tersendiri. Perkara paling penting ialah bijak untuk menyusun atur dan bermain dengan rona.
“Dalam konteks untuk mempamerkan sesuatu ruang supaya kelihatan mewah tidak semestinya kita perlu mempunyai perabot yang mahal atau berjenama. Sebenarnya dengan membeli aksesori pada harga berpatutan di pasaran sudah mampu menonjolkan elemen mewah di dalam kediaman itu.
“Jadi jangan tersalah anggap bagi menonjolkan sesuatu yang mewah segala di dalam kediaman perlu dibeli pada harga yang mahal. Perkara paling utama ialah kreativiti untuk meletakkannya,” katanya.
Justeru, Nurlailah kongsikan lima elemen yang mungkin boleh dipraktikkan pembaca Dekotaman bagi mendapatkan kesan mewah di dalam kediaman anda ketika mendekorasinya.
1. Wujudkan titik fokal di dalam kediaman
Titik fokal di dalam kediaman adalah satu ruang yang boleh menjadi tarikan utama atau paling menyerlah apabila anda berada di dalam ruang berkenaan. Contohnya di ruang tamu, boleh wujudkan satu dinding sebagai titik fokal dengan meletakkan satu cermin unik dengan pancaran lampu LED sebagai penambah elemen elegan di bahagian itu.
Selain itu, titik fokal di ruang juga boleh wujud dengan mengecat dinding tertentu menerusi satu warna yang lebih menyerlah dan mempunyai kesan khas supaya nilai estetik dapat ditonjolkan.
2. Gabungan elemen semula jadi
Elemen semula jadi yang dipilih menerusi pemilihan perabot seperti kayu dan marmar sebenarnya boleh mewujudkan elemen mewah di dalam sesuatu ruang di dalam kediaman.
Misalnya, memilih kerusi atau meja kayu yang bukan sahaja mampu menonjolkan kesan mewah tetapi menzahirkan kesan struktur hidup pada ruangan berkenaan.
Selain itu, memilih meja atau aksesori yang mempunyai elemen marmar tidak boleh dinafikan kesan langsungnya kepada gaya mewah kerana ciri-ciri kilauan yang ada padanya secara automatik memberi kesan itu kepada sesuatu ruang.
3. Kabinet serba guna
Memasang kabinet sebenarnya tidak terhad di ruang dapur sahaja kerana ramai yang menyangka di ruang masakan itu sahaja mempunyai fungsi untuk menyimpan segala hal berkaitan alatan memasak.
Sebenarnya apabila mempunyai kabinet di bahagian tamu juga boleh memberi keselesaan kepada si pemilik kerana di dalamnya boleh menyembunyikan barangan yang kurang menarik atau peribadi untuk dikongsikan kepada tetamu khasnya.
Kini terdapat pelbagai jenis kabinet yang sesuai untuk diletakkan di ruang tamu. Anda hanya perlu bijak menyesuaikan dengan konsep kediaman sedia ada sahaja.
Malah, ketika ini ada juga pemilik kediaman yang mengambil langkah berani dengan mempunyai kabinet seperti di sebuah butik jualan dan ia kelihatan menarik apabila berada di ruang keluarga.
4. Warna cerah dan sejuk
Kuasa rona di dalam kategori sejuk dan cerah seperti beach, hijau atau biru diraja sebenarnya mampu mampu memberi kesan yang baik untuk menonjolkan kesan mewah.
Namun, perlu diberi perhatian adalah menyatukan dengan limpahan cahaya lampu jingga sederhana untuk menonjolkan kesannya. Jadi, anda perlu bijak untuk memastikan pemilihan warna ini kerana ia mampu memberi kesan besar kepada keseluruhan konsep kediaman sama ada kelihatan mewah atau sebaliknya.
5. Gabungan warna dan jangan lebih tiga warna
Gabungan warna adalah perkara paling utama di dalam sesuatu ruang kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada tema dan keluasan malah kepada kemewahan ruang itu sendiri.
Dinasihatkan elakkan melebihi tiga warna palet di dalam sesuatu ruang dan kombinasi yang sesuai antara satu sama lain antaranya kelabu lembut, kelabu dan beige.
© New Straits Times Press (M) Bhd




