hafizithnin@mediaprima.com.my
Bukan sekadar mengalas tugasan untuk mencantikkan sebuah lokasi bersejarah di Jempol, Negeri Sembilan, malah sekumpulan wanita ini merasakan ia satu penghargaan begitu bermakna kerana mampu mengembalikan nostalgia yang cukup bernilai untuk penduduk setempat.
Kira-kira tiga bulan lalu sekumpulan pelukis terdiri daripada Siti Nurulfaidah Nazeri, 31, Nurul Dania Antasha Mohd Noor, 23, Nurzikra Nazeri, 24 dan Nur Thahirah Yaacob @ Razak, 31, mendapat tugasan daripada Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) untuk membuat lukisan mural di Stesen Bas Bahau.
Bukan hanya satu karya seni, tetapi empat lukisan mural di atas lima dinding mewarnai semula pemandangan stesen bas yang sudah beroperasi sejak 2000.
Siti Nurulfaidah berkata, mereka sudah tahu sejak awal daripada MPJL mengenai konsep lukisan yang diinginkan pihak berkuasa tempatan terbabit iaitu gambaran mengenai pengangkutan dan lokasi era sekitar 60-an atau 70-an di Bahau untuk dijadikan lukisan mural di stesen bas berkenaan.
“Ketika saya dan rakan-rakan dimaklumkan mengenai tugasan ini, kami teruja kerana ia membabitkan lukisan mural di lokasi awam untuk dipaparkan kepada khalayak setempat.
“Namun, tercabar apabila perlu melukis semula gambar pengangkutan awam dan pekan lama di Bahau kerana gambar yang diberikan kepada kami itu tidak mempunyai kualiti yang baik kerana ia adalah gambar lama. Warnanya pun sudah pudar,” katanya.
Jelasnya, namun ia tidak menjadi penghalang mereka menjalankan tanggungjawab itu dengan membuat mural di lima dinding di stesen bas berkenaan.
“Kami bernasib baik kerana di stesen bas itu mempunyai seorang wanita yang sudah bekerja di situ sejak tahun 60-an sebagai penjual tiket bas dan dia menjadi rujukan kami untuk mengetahui dari segi warna dan gambaran asal terutama membabitkan pengangkutan lama.
“Antara pengangkutan lama yang kami perlu lukis adalah beberapa jenis bas mini pada era 60-an atau 70-an dan kereta api yang menjadi pengangkutan awam di Bahau. Selain itu, pemandangan aktiviti di pekan Bahau pada zaman dahulu,” katanya.
Tambahnya, dia dan semua rakan pelukis wanita itu mampu menyiapkan semua lukisan berkenaan dalam tempoh enam hari iaitu bermula pada 13 hingga 18 Ogos lalu.
“Menariknya ketika kami melukis ada penduduk setempat warga emas yang datang dan melihat lukisan itu bercerita mengenai kisah mereka di era berkenaan dan merasa terharu kerana mengembalikan nostalgia peribadi masing-masing.
“Kami juga seronok ketika melukis dapat bersembang dengan penduduk setempat yang rata-rata sudah berusia bercerita mengenai kisah masing-masing. Jadi, ia bukan sekadar satu tugasan untuk menyiapkan mural, tetapi amanah yang mengimbau nostalgia,” katanya.
Katanya, lebih terharu ada juga penduduk setempat yang membelikan mereka makan dan minuman ketika mereka melukis mural berkenaan sebagai tanda terima kasih.
“Kami merasakan tugasan kali ini sebagai pelukis mural bukan sekadar mengalas tanggungjawab, tetapi ia mempunyai jiwa tersendiri yang sukar untuk kami gambarkan dengan kata-kata.
“Sebagai generasi baharu yang tidak pernah melihat situasi sebenar seperti pengangkutan awam lama dan pekan Bahau, ketika melukis ia seakan-akan membawa kami ke era itu kerana kisah yang dikongsikan masyarakat setempat di stesen bas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




