am@hmetro.com.my
Besut: “Saya percaya apa yang saya alami di sini menunjukkan kebesaran Allah.”
Itu pengakuan menyentuh hati seorang wartawan televisyen dari Perancis, Muhammad Aris, dalam satu video tular di TikTok selepas menziarahi pusara pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nurly Sahirah Azman, yang terkorban dalam tragedi bas di Gerik, bulan lalu.
Dalam rakaman video berdurasi satu minit 59 saat itu, Muhammad Aris dan adiknya Fatimah turut merakam detik pertemuan mereka bersama keluarga Allahyarham Nurly.
Kunjungan Muhammad Aris, bersama adiknya, Fatimah, ke tanah perkuburan Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini, Jumaat lalu itu, bukan sekadar untuk memberikan penghormatan, malah pengalaman luar biasa buat mereka apabila mendakwa terhidu haruman wangi ketika di pusara arwah.
Menurut bapa arwah, Azman Mohamad, 63, kedua-dua beradik itu sebelum ini tidak mengenali keluarganya, namun singgah ke kediaman mereka di Besut selepas Muhammad Aris bertemu Fatimah di Kuala Lumpur.
“Salah seorang daripada mereka adalah wartawan televisyen dari Perancis, dikenali sebagai Muhammad Aris dan adiknya, Fatimah, kini bekerja di Kuala Lumpur.
“Muhammad Aris kebetulan berjumpa Fatimah di Kuala Lumpur. Mereka datang ke Duyong, Kuala Terengganu, seterusnya singgah ke rumah kami untuk menziarahi kubur arwah Nurly,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azman berkata, mereka berdua tergerak hati untuk singgah ke rumah keluarganya dan mahu melihat sendiri kubur arwah.
“Mereka juga berkongsi pengalaman terhidu haruman ketika berada di kawasan kubur arwah, tetapi kami sendiri belum pernah menghidu bau seperti itu,” katanya.
Dalam video tular itu, Muhammad Aris menyatakan hasratnya untuk khatam al-Quran selepas pulang ke Perancis.
“Sekarang saya belum khatam al-Quran, tetapi selepas balik nanti, saya akan usaha untuk tamatkan,” katanya.
Fatimah pula berkata, kunjungan ke pusara itu memberi inspirasi kepadanya untuk lebih mendekatkan diri kepada al-Quran.
© New Straits Times Press (M) Bhd