razis@hmetro.com.my
SETIAP kali anak diserang demam dan selesema, masih ramai dalam kalangan ibu bapa beranggapan gejala itu adalah penyakit biasa yang menyerang kanak-kanak.
Tindakan ibu bapa yang mengambil ringan situasi ini boleh mengakibatkan kesan kesihatan yang lebih serius sekiranya kanak-kanak terkena jangkitan pernafasan yang menunjukkan gejala sama.
Jangkitan pernafasan menyerang pelbagai bahagian saluran pernafasan daripada hidung hingga ke paru-paru, menyebabkan penyakit seperti selesema, bronkitis, bronkiolitis dan radang paru-paru (pneumonia).
Dalam kes tertentu ia boleh menyebabkan komplikasi serius atau kematian terutama jika tidak dirawat dengan segera.
Konsultan Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, jangkitan pernafasan kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, kebanyakannya disebabkan virus atau bakteria.
“Kajian selama 26 tahun (1982 hingga 2008) menunjukkan Respiratory Syncytial Virus (RSV) adalah punca utama (70.6 peratus) jangkitan pernafasan serius pada kanak-kanak
bawah lima tahun terutama bronkiolitis.
“Jabatan Statistik turut melaporkan pneumonia antara lima penyebab utama kematian kanak-kanak di Malaysia, dengan bakteria Streptococcus pneumoniae (pneumokokus) menjadi punca utama,” katanya.
Dr Musa berkata, 26 peratus kes jangkitan pernafasan yang mengancam nyawa dalam kalangan kanak-kanak disebabkan bronkiolitis RSV.
“Lebih membimbangkan, kadar kematian kes RSV dalam kalangan kanak-kanak Malaysia berumur bawah satu tahun ialah 1.6 peratus, lima kali lebih tinggi berbanding negara maju (0.3 peratus).
“Pneumonia pula adalah punca kematian ketiga tertinggi pada 2021, menyebabkan 2.1 peratus kematian kanak-kanak bawah lima tahun,” katanya.
Menurutnya, bayi dan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, lebih mudah dijangkiti kerana sistem imun mereka belum matang sepenuhnya.
“Kanak-kanak mudah dijangkiti kerana mereka sering berkongsi mainan, menyentuh muka dan mempunyai kebersihan tangan yang kurang sempurna.
“Risiko jangkitan lebih tinggi di pusat asuhan, tadika atau sekolah, serta jika ada ahli keluarga lain yang membawa jangkitan pulang ke rumah.
“Jangkitan tersebar melalui titisan udara apabila seseorang batuk atau bersin atau melalui sentuhan pada permukaan tercemar,” katanya.
Tambahnya, beberapa faktor meletakkan kanak-kanak dalam kumpulan berisiko tinggi termasuk bayi dan kanak-kanak bawah lima tahun, keadaan rumah atau pusat jagaan yang sesak, pendedahan kepada asap rokok atau vape, kekurangan nutrisi yang melemahkan sistem imun, pencemaran alam sekitar dan asap kenderaan serta tahap imunisasi yang tidak lengkap.
Beliau berkata, untuk mengenal pasti gejala awal jangkitan pernafasan pada kanak-kanak boleh menjadi sukar.
“Hanya satu daripada lima penjaga dapat mengenali dengan tepat tanda-tanda awal bronkiolitis dan pneumonia.
“Gejala awal termasuk hidung berair, batuk, demam dan kurang selera makan. Ibu bapa dinasihatkan untuk segera mendapatkan nasihat doktor jika anak menunjukkan gejala yang lebih serius seperti sesak nafas, berdehit (wheezing), stridor (bunyi kuat bila tarik nafas), dada berombak dan keletihan (tidak aktif, tidak bercakap, tidak mahu makan atau minum),” katanya.
Sementara itu, Konsultan Pakar Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Professor Datuk Dr Zulkifli Ismail, rawatan bergantung kepada jenis jangkitan.
“Namun bagi mencegah daripada jangkitan pernafasan yang serius seperti RSV dan pneumonia, vaksinasi adalah langkah terbaik bagi melindungi kanak-kanak.
“Jika tidak dirawat, jangkitan boleh menjadi lebih teruk dan menyebabkan komplikasi seperti radang paru-paru, kerosakan paru-paru jangka panjang, atau kematian,” katanya. Beliau berkata, imunisasi sememangnya kekal sebagai salah satu strategi paling berkesan dalam mencegah penyakit serius dalam kalangan kanak-kanak kecil, terutamanya jangkitan pernafasan seperti RSV dan pneumonia pneumokokal.
“Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyarankan dua pendekatan pencegahan RSV yang teruk dalam kalangan bayi iaitu vaksinasi ibu semasa kehamilan untuk pemindahan antibodi kepada bayi, atau pemberian antibodi pelindung kepada bayi selepas lahir.
“Kedua-dua kaedah ini terbukti berkesan mengurangkan kes RSV yang teruk dan kemasukan ke hospital.
“Untuk pneumonia pneumokokal, CDC mengesyorkan semua kanak-kanak bawah lima tahun menerima vaksin pneumokokal,” katanya.
Katanya, di Malaysia, langkah ini diperkukuhkan dengan kemasukan vaksin konjugat pneumokokal dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) sejak 2020.
“Pelaksanaan ini bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut membantu mengurangkan penyebaran penyakit dalam komuniti satu kesan yang kita sebut sebagai ‘imuniti kelompok’,” katanya.
Dr Zulkifli berkata, walaupun tahap kesedaran semakin meningkat, masih ramai ibu bapa menganggap batuk dan selesema sebagai perkara biasa.
“Ramai menganggap ia ‘penyakit budak-budak’ yang akan sembuh sendiri. Sikap ini boleh melengahkan rawatan awal dan meningkatkan risiko komplikasi,” katanya.
Dalam pada itu, Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Perubatan Feto-ibu, Profesor Jamiyah Hassan melihat peranan penting imunisasi ibu ketika kehamilan yang berfungsi menghasilkan antibodi boleh dipindahkan kepada bayi melalui plasenta.
“Proses ini memberikan perlindungan pasif kepada bayi yang baru lahir sebelum mereka dapat menerima vaksin sendiri.
Katanya, walaupun secara umum, kadar imunisasi di Malaysia masih tinggi, masih terdapat segelintir masyarakat yang ragu-ragu kerana terpengaruh dengan mitos dan maklumat palsu.
“Dalam hal ini, peranan petugas kesihatan dan media amat penting dalam menyebarkan maklumat yang tepat bagi menangani keraguan masyarakat terhadap imunisasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd