Waspada golongan agamawan merosakkan imej agama

Waspada golongan agamawan merosakkan imej agama

Kedudukan ustaz dianggap mulia dan dihormati kerana mereka dilihat sebagai orang yang menyampaikan ilmu agama dan membimbing masyarakat menuju jalan yang benar.

Namun, realitinya tidak semua ustaz menepati peranan dan tanggungjawab ini. Ada segelintir individu yang menyalahgunakan gelaran ustaz demi kepentingan peribadi, kuasa atau populariti.

Mereka bukan sekadar mencemarkan nama baik profesion mulia itu, tetapi turut merosakkan imej Islam di mata masyarakat.

Oleh itu, berhati-hati dengan ustaz yang merosakkan imej agama kerana ia adalah satu kewajipan moral dan agama demi menjaga kesucian Islam.

Gelaran ‘ustaz’ tidak seharusnya hanya difahami sebagai satu panggilan hormat, tetapi satu amanah besar. Seorang ustaz harus menjadi lambang ilmu, akhlak dan kesederhanaan.

Dalam al-Quran, Allah SWT memuji orang yang berilmu, maksudnya: “Katakanlah (Muhammad), adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Surah Az-Zumar: 9)

Ustaz yang sepatutnya menjadi contoh dalam menzahirkan nilai Islam yang sebenar adil, berhemah, ikhlas dan penuh kasih sayang.

Namun, apabila mereka sendiri menjadi punca kekeliruan, kebencian dan perpecahan, mereka telah mengkhianati amanah itu.

Tragedi dan kes yang dilapor dalam media masa berkaitan penipuan dan keterlibatan dalam perkara buruk sangat mendukacitakan. Tindakan sebegini turut mencemar nama baik ustaz dalam kalangan dan bidang keilmuan kerana bukan semata-mata ilmu yang dimiliki, tetapi akhlak yang menjadi teras contoh dalam masyarakat.

Apabila ustaz menyalahgunakan kedudukan dan kepercayaan masyarakat, pelbagai kesan buruk boleh berlaku. Antaranya adalah kehilangan kepercayaan terhadap institusi agama.

Masyarakat menjadi sinis dan mempersoalkan kewibawaan secara umum apabila segelintir mereka terbabit dalam skandal atau ajaran menyimpang. Begitu juga memburukkan nama Islam di mata bukan Muslim.

Kelakuan buruk seorang ustaz seperti bersikap kasar, mengeluarkan kenyataan berunsur kebencian atau memperdagangkan agama untuk keuntungan peribadi memberikan gambaran negatif terhadap agama Islam itu sendiri.

Di samping itu juga umat menjadi keliru dan lemah pegangan. Masyarakat awam, khususnya golongan muda akan hilang pedoman apabila mendapati mereka yang sepatutnya membimbing mereka sebenarnya hipokrit atau tidak jujur.

Dalam keadaan ini, Islam mengajar umatnya supaya tidak mentaati pemimpin agama yang menyesatkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Akan muncul pada akhir zaman orang-orang yang bercakap tentang agama, tetapi mereka sesat dan menyesatkan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Adalah penting untuk difahami menolak ustaz yang menyeleweng tidak bermakna menolak Islam. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk taasub kepada individu.

Saidina Umar Al-Khattab RA sendiri berkata: “Janganlah kamu melihat kepada siapa yang bercakap, tetapi lihatlah apa yang dikatakannya.”

Umat Islam perlu diajar untuk menilai sesuatu ucapan berdasarkan ilmu dan dalil, bukan berdasarkan gelaran atau populariti penyampai. Malangnya, terdapat budaya memuliakan ustaz secara berlebihan sehingga mereka tidak boleh ditegur walaupun terang-terangan melakukan kesalahan.

Islam menggalakkan umatnya bersikap kritikal terhadap pemimpin agama supaya agama tidak dicemari oleh kepentingan manusia.

Allah SWT berfirman: maksudnya: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar dengan yang batil dan kamu sembunyikan yang benar itu sedang kamu mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 42)

Antara ciri-ciri ustaz yang wajar ditolak dan dijauhi ialah Pertama suka mencela, menghina atau memaki orang lain secara terbuka. Kedua membuat kenyataan yang menanam kebencian terhadap kaum, golongan atau mazhab tertentu. Ketiga menggunakan agama untuk kepentingan perniagaan atau politik. Keempat meminta imbuhan tinggi atau mengeksploitasi pengikut secara tidak wajar. Kelima terbabit dalam skandal moral atau jenayah, namun enggan bertaubat dan terus mempertahankan kesalahan. Keenam tidak merujuk kepada sumber yang sahih dalam penyampaian ilmu.

Ustaz seperti ini bukan penyambung dakwah Rasulullah, tetapi perosak agama yang berselindung di sebalik jubah dan gelaran. Menolak ustaz yang menyeleweng bukan tanggungjawab individu semata-mata, tetapi perlu membabitkan kerjasama masyarakat dan institusi.

Antara langkah yang wajar diambil ialah:

• Pertama pendidikan awam berkaitan pemikiran kritikal dalam beragama. Masyarakat perlu dilatih supaya tidak menerima bulat-bulat setiap ucapan tanpa semakan atau dalil.

• Kedua pemantauan oleh institusi agama. Jabatan agama perlu lebih tegas terhadap ustaz yang menyesatkan masyarakat atau merosakkan imej Islam, termasuk penggantungan tauliah jika perlu.

• Ketiga pengiktirafan kepada ustaz yang berwibawa. Masyarakat perlu diberikan akses kepada ustaz yang mempunyai kelayakan, akhlak dan pendekatan dakwah yang seimbang dan menyantuni.

Firman Allah maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar.” (Surah Ali Imran: 104)

Ayat ini menjadi asas kepada kewajipan masyarakat untuk mencegah kerosakan termasuk yang dilakukan oleh golongan ustaz. Seorang ustaz seharusnya menjadi qudwah hasanah (contoh teladan) kepada umat. Rasulullah SAW ialah insan paling mulia dan penyampai risalah terakhir, tetapi baginda berdakwah dengan lemah lembut, sabar dan akhlak yang tinggi. Allah berfirman yang maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam: 4)

Maka, ustaz yang kasar, cepat menghukum, tidak menyantuni perbezaan pendapat atau bercakap dengan nada sombong dan menghina, telah lari jauh dari akhlak Rasulullah. Golongan seperti ini harus ditegur dan jika tidak berubah, wajib ditolak sebagai rujukan masyarakat.

Menjadi ustaz bukan lesen untuk dihormati secara membuta tuli. Sebaliknya, ia adalah amanah besar untuk menyampaikan agama dengan penuh hikmah, keikhlasan dan tanggungjawab. Umat Islam perlu tegas dan jelas dalam membezakan antara ustaz yang membawa rahmat dan ustaz yang membawa kerosakan. Berhati-hati dengan ustaz yang merosakkan imej agama bukanlah satu tindakan yang menyalahi ajaran Islam, bahkan ia adalah bentuk kasih sayang terhadap agama ini supaya tidak dicemari oleh perbuatan manusia yang menyimpang. Dengan pendekatan adil dan berprinsip, kita dapat mempertahankan kemuliaan Islam daripada fitnah yang datang dari dalam.

Penulis Pensyarah Kanan Universiti Selangor, Timbalan Presiden Wadah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top