am@hmetro.com.my
Kota Bharu : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mempergiatkan khidmat nasihat kepada orang ramai berhubung jenayah scammer yang menggunakan institusi masjid.
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein berkata, walaupun setakat ini tidak menerima aduan mengenai scammer yang menggunakan nama masjid di bawah seliaan MAIK termasuk untuk mengutip derma, langkah berwaspada perlu dibuat.
“Setakat ini kita belum lagi terima aduan berhubung scammer guna nama masjid, tapi kemungkinan selepas ini mungkin ada kerana selagi sesuatu perkara itu menguntungkan, scammer akan cari jalan.
“Tidak terkecuali juga yang akan salahguna nama institusi masjid, maka kita kena mendepani perkara ini dengan mempergiatkan khidmat nasihat kepada orang ramai,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir hadir merasmikan Program Let’s Do IT MAIK dan melancarkan Managed Wifi Masjid di Masjid Jamek Assalam Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Masjid Assalam menjadi masjid keempat di bawah seliaan MAIK yang disediakan perkhidmatan wifi selepas Masjid Muhammadi, Masjid Beijing (Rantau Panjang) dan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra (Gua Musang).
Mohd Anis berkata, kesemua masjid itu dipilih kerana menjadi tumpuan ramai atas faktor kewujudan sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar selain ingin mengimarahkan masjid itu sendiri.
“Masjid terpilih ini adalah yang jadi tumpuan, ada pelajar sekolah dan IPT jadi mereka boleh gunakan kemudahan wifi.
“Kalau sebelum ini selalu lepak di kafe, kali ini kita ingin dekatkan komuniti dengan masjid selain tujuan untuk solat, dapat juga wujudkan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




