KUALA LUMPUR: Terlalu menghayati watak Abbas menerusi filem KUDRAT1968: High Council menyebabkan pelakon Zarif Ghazzi mengakui karakter berkenaan pernah terbawa-bawa ke kehidupan hariannya.
Zarif atau nama sebenarnya, Zarif Farahi Effie Ghazzi, 22, berkata, penghayatan mendalam terhadap watak itu pernah membuatkan dirinya terbawa emosi sehingga memarahi rakan serumah hanya kerana perkara kecil.
Menurutnya, sebagai pelakon, dia perlu benar-benar mempercayai karakter yang dibawakan bagi memastikan watak tersebut dapat diterjemahkan dengan berkesan kepada penonton.
“Tentunya apabila kita percaya, sebab kami sebagai pelakon, kami perlu percaya. Saya perlu percaya yang watak ataupun roh Abbas itu masuk ke dalam saya supaya saya dapat keluarkan watak Abbas daripada segi lakonan.
“Bila saya sendiri percaya, penonton juga boleh percaya bahawa saya memang itu bukan saya, itu bukan Zarif Ghazzi, itu adalah Abbas.
“Memang ada sampai saya terbawa balik rumah. Saya tiba-tiba termarah rakan serumah saya atas sebab kecil, macam dia terlupa nak cuci pinggan atau apa.
“Bila saya masuk bilik, saya diam-diam fikir, kenapa saya nak marah kawan-kawan saya? Itu adalah Abbas, itu bukan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada sidang media KUDRAT1968: High Council di TGV Suria KLCC, semalam.
Mengulas lanjut, Zarif berkata, antara cara yang dilakukannya untuk ‘melepaskan’ karakter Abbas daripada dirinya adalah dengan mengambil masa untuk bercuti dan mendekatkan diri dengan alam semula jadi.
“Jadi antara cara untuk saya keluarkan Abbas ini, saya perlu bercuti di mana-mana, di laut atau tempat-tempat yang semula jadi. Alhamdulillah, sekarang dah okey,” katanya.
Bagaimanapun, Zarif mengakui karakter Abbas masih meninggalkan kesan terhadap dirinya sehingga kini.
“Abbas masih kekal dengan saya, dia masih ada.Contohnya sebelum ini saya kurang ada urat di kepala, jadi waktu saya melakonkan watak Abbas ini, antara kesan sampingan yang saya kena ialah urat itu dah sampai ke telinga, dia berdenyut-denyut.
“Doktor cakap saya memang kena rehat. Saya tak cukup rehat, saya terlalu depressed dan sebagainya. Semuanya demi untuk menghasilkan watak Abbas,” ujarnya.
Biarpun terpaksa berdepan kesan fizikal dan emosi, pelakon itu menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sebahagian daripada perjalanan serta tanggungjawabnya dalam menjayakan sesuatu watak.
Malah, Zarif berkata, dia tidak keberatan melakukan sebarang perubahan terhadap dirinya sekiranya perkara tersebut diperlukan bagi memastikan watak yang dibawakan tampil meyakinkan.
“Bagi saya ini adalah perjalanan saya untuk melakonkan watak Abbas. Itulah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon untuk melakonkan tak kisahlah watak sesusah mana atau mencabar mana pun.
“Saya memang bermati-matian. Saya memang minat berlakon. Jadi tak kisahlah, bagi saya watak yang saya perlu kurus kering, watak kanser pun saya tak ada masalah,”katanya.
KUDRAT 1968: High Council merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council.
Naskhah arahan Zulaikha Zakaria itu dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.
KUDRAT 1968: High Council bakal menemui penonton pada 11 September ini.

