norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Tidak menafikan isterinya, Watie Hanifiah, 36, lebih popular daripadanya ketika ini, pelawak yang juga usahawan, Shuib, 40, menyifatkan ia sebagai rezeki untuk keluarga mereka.
Shuib berkata, dia menghormati minat isterinya yang suka bekerja dan pendapatan diperoleh Watie juga dapat membantu kewangan di pihak keluarga wanita itu sendiri.
“Betul juga, populariti dia (Watie) melebihi saya sekarang. Tapi, baguslah untuk pendapatan keluarga kami. Saya memang benarkan dia bekerja sebab itu yang dia suka.
“Malah, saya rasa dia sendiri juga mengakui yang lepas berkahwin rezeki dia lagi banyak, termasuk dia dapat bantu banyak untuk keluarganya sendiri. Saya boleh nampak dan saya tahu.
“Bagi saya, baguslah untuk isteri saya, Watie. Saya juga tak ada menghalang dia untuk dia buat ‘income’ (pendapatan), kalau betullah dia lebih popular daripada saya sekarang,” katanya.
Shuib berkata, dia sentiasa memberikan sokongan positif kepada Watie terhadap apa yang dilakukan isterinya itu sekiranya didapati membawa kebaikan, namun kena seimbang dan tetap memberi fokus kepada keluarga.
“Cuma, saya ada tetapkan beberapa perkara yang dia boleh buat dan tak boleh buat, tahu had bekerja serta apa fokus sebenar (untuk kerja). Tapi, sekarang ini dia boleh seimbangkannya, terutama tetap banyak fokus kepada anak-anak.
“Kadang-kadang bila bercerita mengenai popular dan ‘review’ (produk) semua ini, dia (Watie) ada masa-masa yang kena buat ‘content’ (kandungan media sosial), saya cakap pandai-pandai bahagikan masa. Kalau ada ‘team’ boleh tolong, buatlah.
“Itu komitmen. Watie ini setiap bulan dia ada komitmen untuk ‘posting’ dan buat macam-macam. Setakat ini, semua itu dah ada dan Alhamdulillah, berjalan lancar,” katanya.
Shuib dan Watie bernikah pada 23 Jun tahun lalu dan mereka meraikan ulang tahun pertama perkahwinan itu, baru-baru ini.
Ia perkahwinan kedua Shuib yang mempunyai empat cahaya mata selepas pemergian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 9 Ogos 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd




