Wawa Zainal impi jadi isteri sempurna

Wawa Zainal impi jadi isteri sempurna

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usahawan juga pelakon, Wawa Zainal, 34, mempunyai keinginan terbesar menjadi isteri yang baik buat suaminya, Aeril Zafrel, 38, sekali gus sempurna di mata lelaki dicintainya itu.

Menurut Wawa atau nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin, ia adalah antara hadiah bermakna buat dirinya yang meraikan ulangtahun ke-34 pada 12 Mac lalu sebagai isteri, ibu dan wanita berkerjaya.

“Hadiah untuk diri sendiri, saya nak menjadi isteri yang baik untuk Aeril. Belum menjadi isteri sempurna, tetapi insya-Allah. Doakan, saya pun masih belajar lagi.

“Untuk jadi isteri sempurna, untuk menjadi hamba Allah yang taat juga. Memang masih belajar ke arah itu,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan sambutan hari jadi di Teratak Amandari Kajang, baru-baru ini.

Ditanya apa lagi impian ingin dicapainya dalam kehidupan, wanita asal Lahad Datu, Sabah ini berkata semuanya sudah lengkap dan amat mensyukurinya di atas segala pinjaman daripada Allah.

“MasyaAllah, saya rasa macam semua sudah dapat, Alhamdulillah. Apapun, saya bukan riak tetapi sekadar bersyukur sangat-sangat. Hari-hari saya memang memanjatkan kesyukuran.

“Sebab, saya dipinjamkan oleh Allah semua ini. Saya nak supaya kesihatan dipanjangkan, sentiasa berada dalam keadaan baik serta dipinjamkan juga kebahagiaan berterusan yang saya rasa sekarang ini.

“Saya selalu berdoa, ‘Ya Allah semoga kebahagiaan ini, kecukupan ini dan memperoleh kesempurnaan sebab saya ada suami yang baik, ada anak-anak yang baik juga, maka saya rasa sempurnalah pada diri.

“Semoga Allah panjangkan sahaja. Hari-hari doa supaya dipanjangkanlah rezeki ini. Saya dah tak ada lagi nak rasa macam mahu capai benda lain ke, sudah tak ada dah. Hanya berharap, cuma apa yang saya ada sekarang ini berpanjangan,” jelasnya.

Berbicara juga mengenai menambah cahaya mata, Wawa berkata itu juga menjadi impian untuk seorang wanita, isteri dan ibu sepertinya, tetapi bukan dalam masa terdekat ini.

“Insya-Allah (nak tambah anak), itu juga antara salah satu impian saya yang belum terlaksana. InsyaAllah doakan. Tapi, mungkin bukan dalam masa terdekat. Tunggu dulu,” katanya.

Terdahulu, Wawa mendirikan rumahtangga bersama Aeril Zafrel secara rahsia pada 25 Februari 2012, namun mereka membuat keputusan mengumumkannya pada 4 Februari 2013.

Pasangan ini mempunyai empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 13, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 11, Ayya Sofia, 6, dan Muhammad Fahri, 5.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top