Stockholm: Juara Grand Slam tiga kali, Stan Wawrinka, membuktikan kemampuannya sekali lagi apabila pemain berusia 39 tahun itu menyingkirkan pilihan utama Andrey Rublev untuk mara ke separuh akhir.
Wawrinka, yang kini berada di ranking ke-217 dunia, menewaskan pemain Rusia di ranking ketujuh, Rublev, dengan kemenangan 7-6 (7/5), 7-6 (7/5). Ini adalah kemenangan pertamanya tahun ini ke atas pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Pemain dari Switzerland itu akan bertemu pilihan keempat dari Amerika Syarikat, Tommy Paul, juara Stockholm 2021, yang menewaskan Miomir Kecmanovic dari Serbia 7-6 (9/7), 6-2.
“Saya tak boleh ubah umur saya, tapi yang paling penting bagi saya ialah setiap kali masuk ke gelanggang, berusaha untuk berjuang.
“Saya cuba memperbaiki diri dan menikmati apa yang saya lakukan. Sebab saya terus bermain adalah untuk menikmati perlawanan seperti ini, dengan ramai orang memberikan tenaga positif di gelanggang. Saya sangat gembira dapat peluang untuk bermain satu lagi perlawanan esok,” kata Wawrinka, yang kini menjadi separuh finalis ketiga tertua dalam sejarah ATP Tour moden selepas Jimmy Connors dan Ivo Karlovic.
Bekas pemain nombor tiga dunia itu melakukan 14 ace dan menamatkan perlawanan dengan menyempurnakan mata perlawanan pertamanya, sekaligus mara ke separuh akhir di ibu kota Sweden buat kali pertama dalam empat percubaan.
“Kuncinya adalah untuk kekal fokus dan positif,” kata Wawrinka, yang sebelum itu membiarkan kelebihan 2-0 dalam set kedua terlepas. Dia kini memburu gelaran ATP ke-17 dalam kerjayanya dan yang pertama sejak Geneva pada 2017.
Wawrinka pernah memenangi Terbuka Australia pada 2014, Terbuka Perancis pada 2015, dan Terbuka AS pada 2016.
Harapan Rublev untuk layak ke ATP Finals buat kali kelima berturut-turut terjejas, kerana pemain berusia 26 tahun itu kini berada di kedudukan kelapan, dengan empat pemain lain, termasuk Paul, masih bersaing minggu ini.
Pemain nombor 37 dunia, Tallon Griekspoor, pula menewaskan pilihan kedua, Casper Ruud, 7-5, 7-6 (7/5), dengan 13 ace dan menyelamatkan ketiga-tiga break point yang dihadapinya.
Griekspoor kini mencatatkan tiga kemenangan menentang pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia sepanjang kariernya dan menjadi pemain Belanda pertama mara ke separuh akhir di Stockholm sejak Sjeng Schalken memenangi gelaran pada 2001.
Seterusnya, Griekspoor akan berdepan pilihan ketiga dari Bulgaria, Grigor Dimitrov, yang menewaskan Dominic Stricker dari Switzerland dengan mudah, 6-3, 6-2.
© New Straits Times Press (M) Bhd




