razis@mediaprima.com.my
KEBIASAANNYA seawal jam 8 malam, Kampung Ngulang, Padang Besar, Perlis sudah sunyi dan sepi.
Bagaimanapun, suasana pada malam itu agak berlainan dan meriah apabila ramai penduduk berkumpul di satu kawasan lapang untuk menyaksikan persembahan wayang kulit sempena Program Asean China Heritage DNA (Dimensional of National Art).
Biarpun program akan bermula jam 9 malam, ramai penonton yang terdiri daripada kanak-kanak, dewasa dan warga emas sudah tiba lebih awal.
Ada yang duduk di atas kerusi dan tidak kurang yang duduk bersila di atas tikar yang disediakan untuk melihat dengan lebih dekat pertunjukan seni tradisional itu.
Persembahan Kumpulan Wayang Kulit Asun sentiasa dinanti-nantikan kerana menjadi satu-satunya perkumpulan wayang kulit dari utara tanah air yang masih bertahan.
Selain aktif di dalam negara, Kumpulan Wayang Kulit Asun turut mendapat jemputan untuk membuat persembahan di luar negara termasuk di Indonesia, Laos, Thailand dan Jepun.
Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun ditubuhkan pada 1966 oleh Mohd Noh Mahmud atau lebih dikenali sebagai Pak Noh sebelum diambil alih seorang anaknya, Abdul Majid Mohd Noh atau lebih dikenali sebagai Pak Majid.
Kemudian, Mat Desa Murat, 50, yang lebih dikenali sebagai Abang Cha mengetuai kumpulan itu.
Tepat jam 9 malam, persembahan seni tradisional yang ditunggu-tunggu dimulakan tok dalang, Abang Cha.
Di sebalik kelir yang diterangi lampu, tangan Abang Cha ligat menggerakkan patung Ai Tong dan Ai Kiew sambil diiringi alunan muzik yang dimainkan lima pemuzik.
Dengan menggunakan dialek Kedah, Abang Cha bijak menggabungkan elemen nyanyian, mengubah suara dan berdialog mengikut kesesuaian.
Sepanjang persembahan selama satu jam setengah itu, penonton dihidangkan pelbagai cerita hikayat dan moden seperti Mencari Jodoh, Nasib Awang Bongkok dan Nasib Si Miskin.
Setiap cerita yang dipersembahkan berkisar isu semasa dan kemasyarakatan mempunyai mesej serta nasihat.
Kemampuan Abang Cha menyelitkan elemen lucu berjaya membuatkan penonton terpukau dan tidak kering gusi.
Abang Cha berkata, keunikan wayang kulit Kedah yang lebih dikenali sebagai wayang kulit gedek daripada segi bahasa, bentuk patung, nama patung dan bentuk cerita yang disampaikan.
Katanya, wayang kulit gedek berbeza dengan wayang kulit di Kelantan.
“Wayang kulit gedek menggunakan bahasa Melayu Kedah loghat Siam.
“Kini bentuk patung wayang kulit gedek sudah dimodenkan dan disesuaikan dengan suasana tempat dan masyarakat. Namun, nama patung dengan nama Siam masih dikekalkan seperti Ai Tong, Ai Kiew, Pito dan Mat Junuh,” katanya.
Menurutnya, dalam persembahan wayang kulit, tok dalang memainkan peranan penting dan mempunyai tanggungjawab yang besar.
“Bukan mudah untuk menjadi tok dalang kerana seseorang itu perlu memiliki beberapa pakej kemahiran termasuk daripada aspek seni suara kerana perlu membawa watak dan perwatakan yang berbeza pada satu-satu masa.
“Selain itu, tok dalang perlu mengetahui cerita sama ada cerita tradisi, cerita sedia ada atau secara spontan mencipta cerita menarik perhatian penonton,” katanya.
Mengulas lanjut, dia sendiri terbabit dalam wayang kulit ketika usianya baru mencecah 12 tahun dengan bermula sebagai pemuzik persembahan tradisional itu.
“Jika dahulu, persembahan wayang kulit amat mudah terutama pada majlis kenduri kahwin. Sejak kecil saya sudah didedahkan dengan wayang kulit sehingga tercetus minat untuk terbabit secara langsung.
“Saya bermula dengan pemain muzik wayang kulit dan kini saya diberikan kepercayaan untuk menjadi tok dalang bagi Kumpulan Wayang Kulit Asun,” katanya.
Biarpun sudah lama terbabit dalam bidang kesenian ini, Abang Cha tidak pernah jemu untuk terus memartabatkan wayang kulit supaya terus dikenali bukan sahaja dalam negara malah ke peringkat antarabangsa.
“Saya boleh katakan hampir setiap bulan dia akan menerima jemputan undangan untuk membuat persembahan. Penonton yang meminati wayang kulit terdiri dalam kalangan pelbagai peringkat usia.
“Malah ketika berada di luar negara biarpun penonton tidak faham bahasa yang digunakan, mereka memberi maklum balas sangat positif,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Abang Cha ingin terus bergiat aktif dalam persembahan wayang kulit supaya ia tidak pupus ditelan zaman
“Kini, kita sudah ada tiga orang muda berusia lingkungan 20-an yang akan menjadi pelapis tok dalang bagi meneruskan legasi wayang kulit Asun.
“Saya harap usaha ini dapat dilakukan secara bersama dengan pembabitan lebih ramai pihak untuk menarik lebih ramai golongan muda untuk meminati seni persembahan tradisional ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




