Wei Chong-Kai Wun perlu fokus rebut slot ke Piala Thomas 2024

Wei Chong-Kai Wun perlu fokus rebut slot ke Piala Thomas 2024

Man Wei Chong-Tee Kai Wun. Foto Bernama

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu fokus terhadap misi merebut tempat dalam skuad Piala Thomas 2024 selepas tidak disenaraikan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, minggu lalu.

Jurulatih negara, Tan Bin Shen berkata, beregu ranking ke-18 dunia itu berpotensi diturunkan sebagai pasangan kedua negara dalam Piala Thomas 2024 di Chengdu, China dari 28 April-5 Mei ini, sekiranya dapat membuktikan kebolehan dalam kejohanan yang disertai mereka selepas ini.

“Latihan mereka perlahan-lahan semakin baik, saya harap mereka dapat mengatasi tekanan serta rasa tidak yakin di gelanggang. Mereka perlu membuktikan kebolehan dalam kejohanan kerana kami memerlukan pasangan kedua yang kuat dalam saingan Piala Thomas.

“Selepas beberapa kali berbincang dengan mereka, saya nampak Wei Chong-Kai Wun faham yang mereka perlu keluar daripada berada di takuk lama,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, pada Jumaat.

Scroll to Top