sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengesahkan tiket ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember ini, sekali gus bakal melakukan penampilan sulung di kejohanan penutup musim berprestij itu.
Pasangan nombor lima dunia berkenaan melayakkan diri selepas beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, terkandas di separuh akhir Masters Jepun, hari ini apabila tunduk kepada gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita, 12-21, 17-21.
Kekalahan itu menutup terus peluang Sze Fei–Izzuddin, yang berada di ranking ketujuh Jelajah Dunia, untuk mengumpul mata mencukupi bagi memintas Wei Chong–Kai Wun.
Mereka perlu menjuarai Masters Jepun dan Terbuka Australia minggu depan untuk memintas Wei Chong-Kai Wun yang berada di tangga ketiga dalam perlumbaan ke Hangzhou.
Dengan situasi itu, Wei Chong–Kai Wun yang tersingkir seawal pusingan pertama di Kumamoto, sah ke Jelajah Dunia Akhir selepas kekal sebagai beregu kedua terbaik Malaysia di belakang gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, yang sudah lebih awal mengesahkan slot.
Hanya lapan pemain atau pasangan terbaik layak beraksi di kejohanan akhir musim itu, dengan setiap negara dihadkan maksimum dua wakil.
Wei Chong–Kai Wun kini menjadi wakil kelima Malaysia yang mengesahkan tiket ke Hangzhou selepas Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan–M Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie–Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Soon Huat–Shevon Lai (beregu campuran).
Musim ini, Wei Chong-Kai Wun berjaya merangkul dua gelaran dalam saingan Jelajah Dunia apabila muncul juara Masters Indonesia dan Masters Malaysia selain tiga kali mara ke separuh akhir iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Hylo di Jerman.
Wei Chong mengakui ia satu detik yang cukup bermakna buat mereka berdua apabila dapat layak ke buat kali pertama ke saingan Jelajah Dunia Akhir.
“Memang teruja sebab ini kali pertama kami beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir. Ini memang impian saya dan Kai Wun,” katanya.
Kejohanan akhir musim itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$3 juta (RM12.40 juta), dengan juara perseorangan bakal membawa pulang AS$240,000 (RM991,799) manakala juara beregu meraih AS$252,000 (RM1.041 juta).
© New Straits Times Press (M) Bhd




