Wei Lun unggul kekal rekod tanpa kalah

Wei Lun unggul kekal rekod tanpa kalah

ATLET boccia, Chew Wei Lun melakar satu lagi keputusan sensasi, selepas memenangi perlawanan terakhir acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) peringkat kelayakan kumpulan B di Sukan Paralimpik Tokyo, pada Isnin.

Atlet yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-26 Khamis lepas ternyata unggul apabila menewaskan Katerina Curinova dari Republik Czech, 11-0, pada saingan yang berlangsung di Ariake Gymnastics Centre.

Pencapaian atlet yang menduduki ranking ke-11 dunia itu menyaksikan beliau memimpin kumpulan B dan mengekalkan rekod bersih empat perlawanan tanpa kalah sejak aksi pertama Sabtu lepas, dengan menumpaskan atlet Brazil Andreza Vitoria de Oliveira, 5-2.

Wei Lun yang layak ke peringkat suku akhir, dijangka bertemu atlet ranking ke-47 dunia, Qi Zhang dari China dalam peringkat suku akhir selepas ini.

Pertembungan di antara Wei Lun dan Qi dijadual berlangsung jam 4 petang Selasa (3 petang waktu Malaysia). – Bernama

Scroll to Top