WHO keluarkan amaran, tiga sirap ubat batuk buatan India tercemar

WHO keluarkan amaran, tiga sirap ubat batuk buatan India tercemar

Ankara: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin mengeluarkan satu amaran berkaitan tiga sirap ubat batuk tercemar yang dikilangkan di India, sambil menasihatkan pihak berkuasa kesihatan untuk memaklumkan WHO segera jika produk ini ditemui di negara mereka, lapor Agensi Anadolu (AA).

WHO mengenal pasti sirap tercemar itu sebagai kumpulan tertentu produk Coldrif keluaran Sresan Pharmaceutical, Respifresh TR dari Rednex Pharmaceuticals, dan ReLife dari Shape Pharma.

Amaran WHO itu dikeluarkan susulan tindakan polis di negeri Madhya Pradesh, India menahan seorang doktor yang dikaitkan dengan kematian sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak, yang disyaki berpunca daripada sirap ubat batuk tercemar.

Pada 8 Oktober, Pertubuhan Kawalan Standard Ubat-Ubatan Pusat (CDSCO) India melaporkan kepada WHO kehadiran dietilena glikol (DEG) dalam sekurang-kurangnya tiga ubat cecair oral. Menurut agensi kesihatan itu, produk yang tercemar “dilaporkan telah diminum oleh kanak-kanak yang terjejas”.

“CDSCO mengesahkan pihak berkuasa negeri yang berkaitan telah mengarahkan pemberhentian pengeluaran serta-merta di tapak kilang yang terbabit dan telah menggantung kebenaran produk,” katanya, sambil menambah bahawa produk tercemar ini “membawa risiko besar kepada pesakit dan boleh menyebabkan penyakit yang teruk serta berpotensi mengancam nyawa.”

“Dietilena glikol adalah toksik kepada manusia apabila diambil dan boleh membawa maut,” kata WHO.

Sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak telah meninggal dunia di negeri Madhya Pradesh bulan lalu, kebanyakannya akibat pengambilan tiga sirap ubat batuk yang mengandungi dietilena glikol (DEG), bahan toksik yang dijumpai dalam pelarut industri.

Berikutan kemarahan orang ramai, kerajaan Madhya Pradesh mengharamkan penjualan sirap Coldrif dan produk lain dari pengeluar yang sama. Kementerian Kesihatan India mengeluarkan nasihat yang menggesa para doktor supaya tidak memberikan preskripsi ubat batuk dan selesema kepada kanak-kanak di bawah umur dua tahun.

Sirap Coldrif, yang dikilangkan di Tamil Nadu, didapati “tercemar secara berbahaya dengan bahan kimia toksik dietilena glikol,” dan pihak berkuasa telah membatalkan lesen pengeluar sirap itu, Sresan Pharmaceuticals, menurut All India Radio. Pemilik firma itu juga telah ditahan.

Ini bukan laporan pertama membabitkan sirap tercemar. Sebelum ini, sirap ubat batuk buatan India pernah dikaitkan dengan kematian puluhan kanak-kanak di luar negara, mendorong pihak berkuasa mengambil tindakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top