Geneva: Penyakit berjangkit cacar monyet atau mpox, yang lazimnya tersebar luas di Afrika bukan lagi darurat kesihatan antarabangsa, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
WHO dalam pengumuman di Geneva berkata keputusan itu dibuat susulan syor daripada panel pakar bebas untuk menamatkan status darurat yang diisytiharkan pada 2024.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa sidang media di ibu pejabat pertubuhan itu di Switzerland berkata jumlah kes semakin menurun di negara-negara Afrika yang terjejas.
Selain itu, sejak WHO mengisytiharkan darurat, pengetahuan mengenai faktor dan risiko jangkitan telah bertambah. Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa bahaya masih belum berakhir dan pihak berkuasa mesti sentiasa berwaspada.
Menurut data WHO, kes turut dilaporkan baru-baru ini di Jerman, Britain, China dan Turkiye. Bagaimanapun, individu yang dijangkiti di negara-negara itu hampir semuanya mendapat penyakit berkenaan semasa melakukan perjalanan.
Jangkitan mpox lazimnya ringan, dengan gejala ruam kulit dan demam. Bagaimanapun, ia boleh membawa maut kepada kanak-kanak kecil atau individu yang mempunyai daya tahan imun yang lemah.
Pada akhir Julai, pihak berkuasa kesihatan Eropah, ECDC, menganggap risiko jangkitan bagi penduduk di rantau Eropah adalah rendah.
Sejak awal tahun ini, kes telah dilaporkan di 81 negara di seluruh dunia. Sejak Januari, 34,386 kes dan 138 kematian telah dilaporkan kepada WHO (sehingga 28 Ogos).
WHO menganggarkan angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi, kerana tidak semua kes didiagnosis dan direkodkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd