Wilayah Persekutuan sasar tiga kelompok terbaik Sukma

Wilayah Persekutuan sasar tiga kelompok terbaik Sukma

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kontinjen Wilayah Persekutuan mahu terus kekal menjadi pencabar utama untuk Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang bakal berlangsung 17 Ogos depan dengan meletakkan sasaran meraih 60 pingat emas.

Menurut Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh, sasaran itu bakal meletakkan kontinjen negeri itu berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

“Kontinjen Wilayah Persekutuan mendaftarkan sebanyak 1,000 orang atlet untuk menghadapi temasya sukan itu, namun akan ada saringan pada Julai sebelum memuktamadkan jumlah rasmi atlet yang akan beraksi di Sarawak,” katanya.

Kali terakhir Wilayah Persekutuan berjaya menjadi juara keseluruhan Sukma adalah pada 2014, manakala edisi sebelum ini pada 2022 di Kuala Lumpur menyaksikan Wilayah Persekutuan menamatkan saingan di tempat ketiga dengan mengutip 55 pingat emas.

“Setakat ini persiapan kita, Alhamdulillah berjalan lancar, dan dari segi sasaran, kita ada dua, iaitu satu di pihak persatuan dan satu di pihak Majlis Wilayah Persekutuan sendiri.

“Saya rasa untuk selamat, kita meletakkan sasaran antara 50 hingga 60 pingat emas di Sukma Sarawak kali ini, tetapi ia bergantung kepada prestasi atlet kita,” kata Nik Ahmad Zahiruddin.

Dalam masa yang sama, biarpun Wilayah Persekutuan akan menyertai kesemua 37 acara yang dipertandingkan, namun bukan kesemuanya mempunyai wakil wanita kerana kekurangan atlet.

“Kita mendaftarkan kesemua 37 acara, tetapi ada acara-acara yang mungkin kita hantar pasukan lelaki sahaja, tetapi tidak pasukan wanita, kerana beberapa sebab seperti ketiadaan atlet ataupun atlet berkenaan tidak mencapai standard yang kami tetapkan untuk menyertai kejohanan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top