London: Perjalanan singkat Will Still bersama Southampton berakhir apabila pengendali muda itu dipecat selepas hanya 16 perlawanan memimpin pasukan berkenaan yang kini bergelut di tangga bawahan saingan Liga Kejuaraan.
Jurulatih berusia 33 tahun itu dilantik pada Mei lalu selepas mencipta reputasi cemerlang di Perancis bersama Reims dan Lens.
Namun, sentuhan magisnya gagal diterjemahkan di St Mary’s apabila hanya meraih dua kemenangan daripada 13 perlawanan liga musim ini.
Ketika ini, Southampton sekadar berada satu anak tangga di atas zon penyingkiran dengan kelebihan tiga mata saja iaitu sesuatu yang cukup mengecewakan penyokong setia The Saints yang sudah pun terluka dengan penyingkiran daripada Liga Perdana musim lalu.
“Will seorang yang baik dan memberikan segalanya untuk memperbaiki prestasi serta keputusan pasukan.
“Namun, proses itu mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kami. Dengan membuat perubahan sekarang, kami percaya ini peluang terbaik untuk mengubah keadaan dan memanjat kembali kedudukan liga,” kata pengarah teknikal Southampton, Johannes Spors dalam kenyataan rasmi kelab itu.
Kegagalan menampilkan aksi meyakinkan memuncak apabila Southampton tewas 0-2 kepada Preston, sekali gus mencetuskan kemarahan penyokong yang melaungkan slogan mendesak pemilik kelab, Sport Republic supaya keluar dari kelab itu.
Will Still sebelum ini dianggap antara jurulatih muda paling berbakat di Eropah selepas membawa Reims mencipta rekod tanpa kalah dalam 17 perlawanan Ligue 1. Namun, tekanan di England nyata berbeza apabila prestasi pasukan tidak menampakkan peningkatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




