
Sebuah lori terbakar berhampiran stesen minyak di kampung Al-Salihiya. – Agensi
RIYADH – Seorang lelaki Arab Saudi yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mengelakkan letupan stesen minyak menerima penghormatan tertinggi daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Maher Fahad Al-Dalbahi, berusia lingkungan 40-an, dianugerahkan Pingat Raja Abdulaziz Kelas Pertama serta ganjaran tunai sebanyak 1 juta riyal (RM1.26 juta).
Penghargaan itu diumumkan selepas cadangan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, susulan tindakan berani Maher yang memindahkan sebuah lori terbakar sarat dengan makanan haiwan.
Kejadian berlaku Jumaat lalu di kampung Al-Salihiya, kira-kira 300 kilometer dari Riyadh, apabila lori berkenaan terbakar berhampiran pam minyak.
Pemandu lori yang panik meninggalkan kenderaan itu tidak jauh dari tangki minyak stesen berkenaan sebelum Maher bertindak nekad memandunya ke kawasan lapang.
Maher dilaporkan mengalami kecederaan serius dengan melecur di tangan, kaki dan muka, namun tindakannya berjaya menyelamatkan orang ramai serta mengelakkan tragedi besar.
Keluarga Maher menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan besar atas pengorbanannya.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), tindakan Maher itu melambangkan nilai keberanian, keikhlasan dan pengorbanan yang menjadi asas pembinaan negara tersebut. – Agensi